fbpx
MACHUCA diperlukan oleh Valez Sarsfield untuk aksi Piala Super Argentina menentang Central Cordoba ketika tarikh tugasan bersama Harimau Malaya.

Bintang warisan terlepas aksi Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMAIN sayap warisan skuad kebangsaan, Imanol Machuca memberi bayangan bakal terlepas aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Palestin di Stadium Nasional Bukit Jalil pada bulan depan.

Menerusi laman audio siar Youtube Sabado Velez, Machuca menjelaskan kedua-dua perlawanan tersebut bertembung dengan aksi getir final Piala Super Argentina melibatkan pasukannya, Velez Sarsfield menentang Central Cordoba.

Menurut Machuca, aksi tersebut akan berlangsung pada 6 September dengan peluang untuk menyarung jersi skuad kebangsaan seterusnya adalah pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada Oktober depan.

“Saya ada menghubungi jurulatih (Peter Cklamovski) dan harap mereka akan memanggil saya lagi dalam skuad kebangsaan selepas mengharungi pengalaman yang luar biasa pada kelayakan Piala Asia 2027 (bertemu Vietnam bulan lepas).

“Kita berjaya lakukan tugas dengan baik dan harap kita dapat menang pada dua perlawanan seterusnya (bertemu Laos pada 9 dan 14 Oktober).

“Mengenai aksi antarabangsa bulan September, saya masih lagi berbelah bahagi untuk meminta pelepasan kerana ia bertembung dengan aksi final Piala Super Argentina,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Argentia sebelum ini telah berkorban demi membuat debut bersama skuad Harimau Malaya apabila meninggalkan isterinya yang melahirkan bayi lelaki pada awal Jun lepas.

Machuca yang dipinjamkan ke Velez daripada pasukan Brazil, Fortaleza dijangka menjadi watak penting ketika menentang kelab utamanya pada aksi pusingan 16 terbaik Copa Libertadores, 13 Ogos depan.

Skuad negara kendalian Cklamovski dijangka memulakan kem latihan pusat pada penghujung bulan ini untuk bertemu Singapura pada 4 September dan Palestin (8 September).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI