fbpx
Keluarga Azman terkejut melihat dua ekor harimau berlegar-legar di depan rumah sebelum ghaib. – ILUSTRASI SHAH HASAN

‘Kami sekeluarga pelik, harimau itu hanya datang pada waktu malam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBELUM seseorang tokoh atau selebriti dikenali dalam sesuatu bidang, sudah pasti terdapat peristiwa yang melatari perjalanan hidup mereka.

Kisah Mitos kali ini diceritakan oleh seorang kenalan yang kini hidup agak selesa sebagai usahawan yang pernah bergelar jutawan.

Bagaimanapun, kisah ini cumalah tentang apa yang dilaluinya bersama keluarga pada zaman kecilnya.

Menurut Azman Mat, 38, dia berasal dari sebuah negeri di Utara dan dilahirkan dalam keluarga susah.

“Bapa saya hanya bekerja kampung dan mengusahakan kebun milik orang di serata negeri kelahiran saya.

“Saya ada enam adik-beradik yang mana saya anak kedua. Ibu saya setia mengikut bapa merantau mencari kerja,” katanya ketika ditemui di Banting, Selangor baru-baru ini.

Azman berkata, kisah misteri yang ingin dia kongsikan berlaku kira-kira 25 tahun lalu semasa bapanya mendapat kerja mengusahakan kebun sayur di kawasan pinggir hutan.

Katanya lagi, pemilik tanah itu seorang yang baik hati kerana memberi kemudahan tempat tinggal di pinggir hutan kepada mereka sekeluarga.

“Rumah papan dua tingkat itu masih berdiri kukuh. Terdapat perabot lama seperti almari, katil dan pinggan mangkuk antik.

“Namun, ada satu syarat pelik yang diberi oleh pemilik tanah. Kami dilarang naik atau tidur di tingkat atas rumah yang bersaiz sederhana besar itu,” katanya.

Walaupun tertanya-tanya sebab dilarang naik ke tingkat atas rumah itu, namun bapanya akur dengan syarat tersebut demi memastikan mereka tinggal di rumah yang selesa.

Dipendekkan kisah, dua minggu pertama, rumah yang lengkap dengan bekalan air bersih dan tenaga elektrik itu tidak menunjukkan sebarang keanehan.

“Namun pada suatu malam, kami sekeluarga terdengar bunyi ngauman harimau betul-betul di depan rumah.

“Peristiwa menakutkan itu menyebabkan adik-adik saya dan ibu menjadi panik.

“Apabila bapa saya mengintai di celah tingkap, ada dua ekor harimau belang yang agak besar berlegar-legar di hadapan rumah,” katanya.

Azman berkata, peristiwa pelik tersebut berlangsung selama setengah jam sebelum kedua-dua harimau tersebut ghaib begitu sahaja.

Azman berkata, tiba-tiba keluarganya dikejutkan dengan bunyi kanak-kanak berlari di tingkat atas rumah yang juga zon larangan.

“Bapa dan ibu menenangkan adik-adik saya yang menangis ketakutan. Bapa saya agak tenang,” katanya.

Pada malam kejadian tersebut, mereka tidak dapat tidur hingga waktu subuh. Keesokan paginya, bapa Azman menceritakan peristiwa aneh tersebut kepada pemilik tanah.

“Saya tidak pergi sekolah pagi itu akibat mengantuk. Pemilik tanah langsung tidak menzahirkan rasa hairan ketika bapa saya rancak menceritakan peristiwa tersebut dari A hingga Z.

“Malah, dia ketawa berdekah-dekah seperti bapa membuat ‘stand up comedy’. Bapa saya jadi kehairanan dengan sikap pemilik tanah,” katanya.

Pemilik tanah dikenali sebagai Pak Haji memaklumkan bahawa harimau tersebut sering muncul pada malam tertentu sejak dia mewarisi tanah milik bapanya sejak 30 tahun lalu.

“Rumah yang didiami kami sekeluarga pula adalah rumah datuk Pak Haji. Sebab itu rumah tersebut lengkap dengan perabot dan pinggan mangkuk.

“Tingkat atas rumah itu memang menyimpan satu rahsia mistik sehingga Pak Haji sendiri tidak berani naik ke sana,” ujarnya.

Pak Haji memberi kebebasan kepada bapa Azman sama ada ingin terus bekerja dan tinggal di rumah misteri itu atau tidak.

Namun bapanya meminta tempoh dua tiga hari untuk membuat keputusan.

“Bapa berbincang dengan saya dan abang yang sudah berusia belasan tahun.

“Soalnya, adakah kami sanggup terus tinggal di rumah yang ada kelibat harimau dan bunyi tapak kaki budak berlari di tingkat atas rumah pada waktu malam?” katanya.

Selepas tiga hari berfikir, bapanya memberitahu Pak Haji, dia akan terus bekerja dan tinggal di rumah misteri itu.

Ujar Azman, keputusan tersebut menyebabkan Pak Haji tersenyum gembira.

“Malah, Pak Haji menaikkan gaji bulanan bapa yang dianggap sebagai ketua keluarga berani dan bertanggungjawab.

“Sejak menyatakan persetujuan untuk terus tinggal di rumah itu, gangguan dan peristiwa seram semakin menjadi-jadi,” katanya.

Azman memberitahu, pernah sekali, bunyi harimau mengaum begitu dekat dengan dinding rumah sehingga menggetarkan perasaannya.

Ada ketikanya, harimau tersebut akan mencakar dan menggesek tubuhnya di dinding hingga bergegar rumah.

“Lama-kelamaan kami sudah lali dengan perkara tersebut. Kami sudah menganggap ia sebagai penjaga rumah dan tanah kebun.

“Kadang-kadang, kami sekeluarga pelik kerana dua ekor harimau itu hanya datang pada waktu malam,” jelasnya.

Sementara itu, Azman memaklumkan, ruang misteri di tingkat atas rumah masih tidak dimasuki oleh ahli keluarganya.

Kata Azman, mereka sekeluarga bimbang ternampak makhluk pelik keluar dari celah belakang almari atau bawah katil besi antik.

“Kadang-kadang, selepas mengaji al-Quran, kami akan bersembang tentang harimau dan bunyi misteri di rumah itu.

“Kami adik-beradik akan meneka harimau tersebut akan datang atau tidak pada waktu tengah malam,” katanya.

Walaupun gangguan tersebut sering hadir, namun mereka mampu menetap di rumah itu hampir 10 tahun sebelum bapanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di bandar berhampiran.

“Pengalaman misteri tersebut mengajar saya dan adik-beradik satu perkara. Jika keluarga kita susah, kita perlu berani menghadapi setiap ujian yang mendatang.

“Kisah itu mengajar saya untuk terus hidup biarpun berdepan ujian daripada Allah SWT.

“Kita perlu menghadapinya dengan berani dan sabar,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN