fbpx
Kedua-dua tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen George Town, hari ini.

Pelayan, pembantu kedai didakwa lempar mercun dalam restoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Seorang pelayan kedai kopi dan pembantu kedai tomyam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar dan melempar mercun ke arah sebuah restoran, minggu lalu.

Tertuduh, Khoo Teng Chi, 32, dan Joanne Lim, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bahan letupan iaitu mercun dengan cara membakar dan melemparkannya ke sebuah premis milik seorang wanita hingga menyebabkan mengalami kerosakan serta kerugian berjumlah RM34,800 di premis Jalan Pahang di sini, kira-kira pukul 5.19 pagi, 23 Julai lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulzarif Mohd. Zakwan.

Dalam rayuan mitigasinya, Muhammad Zulzarif memohon jaminan RM5,000 terhadap kedua-dua anak guamnya selain tertuduh bersedia mematuhi syarat-syarat tambahan yang dtetapkan mahkamah.

“Anak guam saya bernama Teng Chi hanya bekerja sebagai pelayan kedai kopi dengan pendapatan bulanan RM1,800. Dia juga perlu menyara sendiri anak perempuannya berusia enam tahun kerana sudah bercerai.

“Joanne pula membantu ibunya di kedai tomyam dengan pendapatan bulanan RM1,000 dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau sebelum ini,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai. Kes akan disebut semula pada 2 September depan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI