KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan membina satu juta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun bermula 2026 hingga 2035.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langlah tersebut bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat mendiami kediaman yang selesa dan selamat.
Jelas Anwar, sasaran tersebut akan dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif sedia ada seperti Program Residensi Madani dan Program Perumahan Penjawat Awam.
Ia termasuk program bantuan bina baharu rumah serta program perumahan mampu milik yang digerakkan oleh kerajaan negeri dan pemaju swasta.
“Skim Jaminan Kredit Perumahan juga akan diperluas bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat, termasuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah sendiri.
“Peralihan kepada penggunaan teknologi seperti Sistem binaan Berindustri (IBS) dan Pengurusan Bersepadu Bangunan (BIM) pula akan mempercepatkan pelaksanaan projek serta membantu mengurangkan kos pembinaan termasuk bagi projek perumahan awam,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.-KOSMO! ONLINE