SHAH ALAM – Sungai Langat menjadi sungai paling kerap tercemar di Selangor dalam tempoh dua tahun bermula 2023 dengan merekodkan sebanyak 16 kes pencemaran setakat Mei lalu.
Sungai yang terletak di Lembangan Sungai Langat itu mencatatkan jumlah pencemaran tertinggi berbanding sungai-sungai lain di negeri ini termasuklah Sungai Sembah yang mencatatkan 14 kes, diikuti Sungai Selangor (13 kes) dan Sungai Gong (4 kes).
Lebih membimbangkan, kekerapan pencemaran di Sungai Langat berisiko menjejaskan bekalan air terawat kepada kira-kira 2 juta pengguna yang bergantung kepada empat Loji Rawatan Air (LRA) utama iaitu di Batu 11, Cheras, Sungai Langat, Bukit Tampoi dan Labohan Dagang.
Empat LRA ini membekalkan sumber air kepada penduduk di sekitar Hulu Langat, Cheras, Sepang, Dengkil, Banting, Cyberjaya dan sebahagian Putrajaya.
Bagaimanapun, berdasarkan rekod Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), tiada kejadian henti tugas serentak melibatkan keempat-empat LRA setakat ini.
LUAS berkata, sepanjang tempoh 2023 hingga 14 Mei lalu, sebanyak 164 kes pencemaran dengan 10 daripadanya dikategorikan sebagai kod merah.
Katanya, kod tersebut boleh menjejaskan dan menyebabkan henti tugas LRA melebihi tempoh empat jam seterusnya menyebabkan gangguan bekalan air.
“Kita mengenal pasti terdapat 12 kategori punca pencemaran iaitu bau, kekeruhan, tumpahan diesel dan minyak , kemalangan, air berbuih, sisa kebakaran dan warna.
“Turut mengakibatkan pencemaran adalah bangkai ikan mati, efluen penternakan, peningkatan ukuran keasidan atau keakalian (pH), peningkatan ammonia dan bahan kimia,” kata LUAS kepada Kosmo!.
Menurut LUAS, hasil pemantauan dan pensampelan harian oleh Skuad Elit Air LUAS (SKEAL), terdapat 13 lokasi hot spot pencemaran yang dibahagikan kepada dua lembangan utama.
Bagi Lembangan Sungai Selangor, lokasi paling banyak tercemar ialah Sungai Sembah dengan 14 kes diikuti Sungai Selangor (13 kes) dan Sungai Gong (4 kes).
“Lembangan Sungai Langat pula menunjukkan Sungai Langat merekodkan kes tertinggi iaitu 16 kes disusuli Sungai Kabul (8 kes) dan Sungai Semenyih ( 6 kes).
“Lokasi lain adalah Sungai Selangor, Sungai Serendah, Sungai Guntong dan Sungai Rawang selain Sungai Semenyih, Sungai Langat, Sungai Beranang, Sungai Pajam, Sungai Buah dan Sungai Rinching,” katanya.
Ujarnya, berdasarkan statistik, terdapat 31 kod hijau pencemaran direkodkan selain 123 kes kod kuning serta 10 kod merah bagi tempoh yang sama.
“Bagaimanapun, trend berlakunya pencemaran di sungai-sungai utama di Selangor semakin menurun berikutan pemantauan rapi dilaksanakan LUAS bagi meminimakan henti tugas LRA.
“Malah, tiada sebarang henti tugas LRA sepanjang lima bulan tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, LUAS memaklumkan, jumlah kos yang ditanggung bagi kerja-kerja pembersihan dan mitigasi insiden pencemaran bagi tahun 2023 adalah sebanyak RM46,920.
Katanya, tahun lalu pula mencatat sejumlah RM91,700, manakala tiada perbelanjaan setakat 15 April tahun ini.
“Prosedur operasi standard (SOP) pengesanan pencemaran dilakukan dengan kaedah pengesanan bau melalui pensampelan dengan punca pencemaran seperti dari lurang kumbahan (manhole), lubang tandas, titik pelepasan akhir efluen premis.
“Pengesanan juga dibuat menggunakan alat pensampelan in-situ kualiti air bagi mengambil bacaan parameter-parameter seperti kekeruhan (Turbidity, NTU), NH4 bagi Ammoniakal Nitrogen (AN) dan lain-lain parameter kualiti air.
“LUAS juga menggunakan teknogi pemantauan selaras IoTs melalui sistem pemantauan telemetri kualiti air di sungai utama berisiko pencemaran sebelum pemantauan susulan oleh Skuad Elit Air LUAS (SKEAL).
“Proses nyahbau akan dilakukan menerusi serbuk karbon teraktif sementara oil boom dan oil pad bagi mitigasi pencemaran minyak,” katanya.














