BERPELUANG menikmati tat Bangkahulu air tangan pasangan suami isteri warga emas di Kampung Bangkahulu, Gemas, Negeri Sembilan ini sambil mengimbau sejarah juadah tradisi dari negara seberang itu cukup mengasyikkan.
Walaupun hanya menggunakan bahan asas seperti tepung, telur dan santan serta berintikan kelapa atau nanas, uniknya kuih ini hanya berpeluang ditemui dalam komuniti berketurunan Bengkulu.
Mengikut sejarah, masyarakat Bengkulu mula berhijrah ke negara ini dari wilayah Bengkulu di barat daya Sumatera, Indonesia sejak kurun ke-17.
Kebanyakan masyarakat Bengkulu kini tinggal di beberapa tempat seperti di Gemas, Negeri Sembilan; Sungai Selisik, Sungai Choh dan Sungai Merab di Selangor selain di Behrang, Perak.
Menurut pasangan warga emas berketurunan Bengkulu ini, Ismail Alias, 79, dan Enson Abas, 71, tat Bangkahulu yang sudah lama dijual mereka itu merupakan resipi daripada enam generasi keturunan mereka yang berasal dari Bengkulu.
Ujar Enson, kuih berkenaan mula dikenali ramai di Gemas apabila kawasan penempatan mereka iaitu Kampung Bangkahulu menjadi antara salah satu perkampungan terpilih di bawah Homestay Gemas selain Kampung Londah dan Ulu Ladang.
“Sebelum itu memang sudah ada pelanggan tetap tetapi apabila perkampungan ini menjadi sebahagian Homestay Gemas, kuih ini menjadi antara kuih kegemaran untuk dibawa pulang sebagai oleh-oleh pengunjung.
“Malah, sehingga kini, kami masih menerima tempahan daripada pelanggan negeri jiran misalnya dari Johor yang mahukan kuih ini dijadikan cenderahati semasa keraian seperti kenduri kahwin atau sebagainya,” katanya ketika ditemui K2 di kediamannya di Kampung Bangkahulu baru-baru ini.’

Daripada pandangan mata penulis, meskipun sudah berusia lebih 70-an, pasangan suami isteri ini masih kelihatan sihat.
Semasa ditemui, pasangan ini tekun menyiapkan tat-tat Bangkahulu.
Di saat si suami memasukkan inti, si isteri pula asyik membentuk tat dengan teliti.
Kagum penulis dengan kemahiran Enson apabila melihat tat-tat dibentuk wanita itu umpama daun yang seragam seakan-akan menggunakan acuan.
Enson berkata, anak-anak sudah menasihatkan mereka untuk berehat daripada menjual tat Bangkahulu atas faktor usia, namun dia dan suaminya tidak sampai hati untuk menghampakan permintaan pelanggan.
“Hati tu nak lagi buat, kalau dahulu semasa masih muda, kami boleh hasilkan setiap hari tapi kini kami hanya menghasilkan mengikut tempahan.
“Dalam sebulan, sekitar 1,000 biji tat Bangkahulu kami hasilkan dan sekiranya musim perayaan seperti hari raya Aidilfitri, kami mengehadkan tempahan kepada 8,000 biji tat Bangkahulu kerana tidak menang tangan untuk menghasilkannya,” katanya.
Di kampung tersebut, difahamkan terdapat tiga pengusaha tat Bangkahulu, namun perusahaan pasangan suami isteri warga emas itu agak menonjol apabila setiap dua hari ada saja tempahan diterima.
Permintaan diterima bukan sahaja bermusim seperti semasa Aidilfitri, tetapi boleh dikatakan berpanjangan.
“Ada masanya kami terpaksa menolak tempahan jika tidak larat untuk melakukannya,” katanya.
Menurutnya yang sudah berpengalaman lebih 40 tahun membuat tat Bangkahulu, kuih tersebut berintikan sama ada kelapa dan gula merah atau nanas.
Sedozen tat berinti kelapa dijual pada harga RM10.
Bagaimanapun, menurutnya, tat Bangkahulu berintikan nanas hanya dibuat mengikut permintaan memandangkan harga nanas yang tinggi.
Sementara itu, mengenai cara membuat tat Bangkahulu, secara umumnya ia dilakukan dengan mengadunkan tepung, gula dan telur sebelum dimasukkan santan.
Kemudian, adunan dibentuk leper menggunakan tangan.
Selepas inti kelapa atau nanas dimasukkan, kuih dibentuk menjadi seperti daun dan sejenis penyepit digunakan bagi membentuk corak urat-urat daun.
“Tat ini memang susah untuk dibuat kerana tidak mempunyai acuan dan ramai yang sudah mencuba tapi tak menjadi. Ramai juga orang yang sukar untuk membuat urat daun secara sekata pada tat,” katanya.
Tat kemudian dibakar di dalam ketuhar.

Ujarnya lagi, bagi perbezaan antara tat berintikan kelapa dan nanas hanyalah pada corak di atas tat di mana tat berinti kelapa mempunyai garis panjang di tengah, manakala tat berintikan nanas tiada garisan itu.
“Inti tat kami hasilkan sendiri bagi mengekalkan keaslian rasa tat warisan kami ini,” katanya yang menyatakan 4 kilogram (kg) tepung dan 2kg gula boleh menghasilkan 300 biji tat Bangkahulu.
Bagi Ismail pula, tat Bangkahulu berkenaan menjadi bekalan makanan utama buatnya sekiranya dikehendaki menghadiri kursus semasa berkhidmat dalam tren Keretapi Tanah Melayu (KTMB) dahulu.
“Bila saya bawa kuih ini, ramai yang berminat dan mahu membeli. Saya katakan pada mereka, kuih ini sukar untuk dihasilkan kerana tidak mempunyai acuan.
“Walau saiz serta coraknya nampak sama, saya tegaskan, setiap biji kuih yang dihasilkan tidak dibuat menggunakan acuan serta sepenuhnya bergantung kepada kemahiran pembuatnya,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, dia tidak pernah lokek ilmu apabila mempelawa individu yang berminat untuk membuat tat Bangkahulu untuk mempelajarinya.
“Kalau di Indonesia, kuih ini lebih besar iaitu sebesar tapak tangan dan apabila mahu dimakan, kuih ini akan dipotong kepada beberapa bahagian.
“Apabila saya bawa kuih hasil air tangan kami ini ke negara itu, mereka terkejut apabila melihatnya dalam saiz yang lebih kecil,” katanya.
Menurutnya, tat Bangkahulu berkenaan sudah dijadikan makanan yang dihidangkan pada majlis keraian, perayaan dan tidak kurang juga untuk minum petang.
“Pelanggan kami kebanyakannya ialah keluarga anggota tentera yang tinggal berhampiran.
“Setiap kali perayaan, ada yang meminta kami menambah penghasilan tat Bangkahulu kerana sukar ditemui dan di Negeri Sembilan atau sekitarnya ia hanya boleh ditemui di perkampungan ini,” katanya.














