MARANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengakui sedikit kecewa dengan hukuman yang dikenakan terhadap pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, dan adiknya, Tengku Abdul Aziz, 30, berhubung kes laporan palsu.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 ke atas dua lelaki itu dianggap tidak memadai dibandingkan dengan maruah pasukan, kepercayaan orang awam dan keselamatan anggota di lapangan.
“Lebih mengecewakan, individu terlibat merupakan personaliti media sosial yang sepatutnya menjadi teladan kepada masyarakat, bukannya membuat onar sehingga memalukan banyak pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutup Latihan Kecemasan dan Penyelamatan Kebakaran kebangsaan di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, di sini hari ini.
Jumaat lalu, Tengku Nizaruddin atau Ija dan adiknya dikenakan hukuman penjara dan denda oleh Majistret Mahkamah Muar setelah mereka mengaku bersalah membuat laporan palsu berhubung kehilangan lelaki itu di Sungai Tui, Bukit Kepong pada 14 Julai lalu.
Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, tindakan tidak bertanggungjawab dua lelaki itu memaksa pelbagai agensi mengerah sumber termasuk aset, logistik dan anggota bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat secara intensif.
Katanya, laporan palsu itu bukan sahaja membazirkan sumber dan tenaga malah boleh mengancam keselamatan anggota yang telah digerakkan ke lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE