SEGAMAT – Kebakaran lima buah rumah di Jalan Francis Khoo, Bukit Siput, di sini 25 Julai lalu sehingga meragut nyawa seorang wanita warga emas dipercayai ada unsur khianat.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Ahmad Zamry Marinsah bagaimanapun berkata, siasatan terperinci kebakaran pada pukul 4.30 pagi itu masih dijalankan bagi mengenal pasti pelaku dan cara khianat dilakukan.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kejadian dianggarkan berlaku pada pukul 4.15 lagi di mana penghuni rumah pertama seorang lelaki warga tempatan melihat nyalaan api di garaj rumahnya.
“Saksi telah mengejutkan ahli keluarganya untuk menyelamatkan diri. Walaubagaimanapun, ibu mentua saksi telah masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil barang dan tidak keluar semula dipercayai terperangkap di dalam rumah.
“Sebaik api berjaya dikawal pada pukul 8 pagi, mayat seorang wanita warga emas, Tan Ah Gek, 73 ditemui rentung di ruang dapur rumah,”katanya ketika dihubungi hari ini.-KOSMO! ONLINE