KOTA KINABALU – Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan berkaitan kematian seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar yang meninggal dunia dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah berkenaan.
“Polis akan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh membabitkan semua aspek.
“Oleh itu, kita meminta orang awam bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan lengkap dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Jauteh memaklumkan kenyataan dikeluarkan ini merupakan yang kedua dari pihak polis selepas kenyataan pertama pada 18 Julai lalu berhubung kes kematian Zara Qairina.
Terdahulu, Zara Qairina Mahathir, 13, pelajar tingkatan satu, SMKA Tun Datu Mustapha pada 16 Julai lalu ditemui kira-kira jam 3 pagi dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1 tengah hari keesokan harinya.
Kejadian terbabit menjadi tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen selepas ia dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli yang didakwa berlaku di sekolah berkenaan.
Insiden itu juga mencetuskan gelombang kesedihan dan desakan keadilan bukan saja dalam kalangan rakyat Sabah malah di seluruh negara.-KOSMO! ONLINE.