ERA teknologi yang kian berkembang bukan sahaja menyaksikan evolusi terhadap gajet atau barangan elektrik semata-mata.
Sebaliknya, jenama cermin mata terkenal Ray-Ban tampil bergandingan dengan syarikat gergasi teknologi Meta menerusi produk baharu yang menggabungkan gaya hidup dan inovasi digital.
Cermin mata pintar Ray-Ban Meta itu bukan sekadar menjadi aksesori fesyen tetapi hadir dengan pelbagai fungsi teknologi yang mampu mengubah landskap komunikasi dan interaksi.
Mula memasuki pasaran tempatan pada bulan lalu, Ray-Ban Meta tampil dengan reka bentuk yang jauh berbeza daripada koleksi ikonik seperti wayfarer dan headliner.
Di sebalik gaya klasik itu tersimpan keupayaan teknologi moden seperti kamera 12MP yang turut membolehkan rakaman video dalam format 1080p dilakukan.
Terdapat juga mikrofon dan pembesar suara yang digabungkan terus dengan aplikasi Meta View untuk kawalan dan suntingan kandungan.
Mikrofon Ray-Ban Meta diletakkan di bahagian sisi bingkai dan berhampiran dengan lensa yang memudahkan pengguna untuk berkomunikasi.
Kemampuan cermin mata pintar itu membuatkan Ray-Ban Meta telah mengubah cara fotografi dan kemampuan berkomunikasi dengan pesona lebih bergaya.

Menarik mengenai cermin mata itu, pengguna boleh menggunakannya hampir tanpa gangguan lebih-lebih lagi ketika sedang melakukan aktiviti berjalan, berbasikal atau melakukan sebarang gerakan fizikal lain.
Pengguna hanya perlu menyentuh bingkai atau menggunakan arahan suara seperti Hey Meta, take a photo (Hi Meta, ambil gambar) untuk merakam gambar secara automatik.
Fungsi ini sangat berguna bagi pengembara, pencipta kandungan mahupun individu yang mahu merakam momen penting tanpa perlu mengeluarkan telefon.
Dari segi audio, pembesar suara ditempatkan pada kedua-dua sisi bingkai yang mampu menghasilkan bunyi dengan jelas tanpa terdedah atau didengari oleh orang sekeliling.
Dengan cara itu, pengguna boleh mendengar muzik, menjawab panggilan telefon atau menerima mesej suara dengan mudah dan selesa.
Ciri open-ear audio menjadikan cermin mata pintar ini lebih selamat digunakan ketika berada di kawasan awam kerana pengguna masih boleh mendengar dan peka dengan persekitaran sekeliling.

Cermin mata pintar itu turut menyokong siaran langsung di platform media sosial melalui sambungan Wi-Fi dan Bluetooth, menjadikan ia ideal untuk pencipta kandungan yang sentiasa bergerak.
Dalam ujian prestasi awal, Ray-Ban Meta mendapat reaksi positif apabila respon terhadap suara dan sentuhan lebih pantas meskipun rangkaian internet lemah.
Kuasa bateri mampu bertahan selama empat hingga enam jam pada kadar penggunaan aktif, manakala pengecas mudah alih yang berfungsi sebagai bekas penyimpanan memudahkan pengguna untuk membawanya ke mana-mana.
Direka dengan kemampuan tahan lasak dan kalis percikan air, Ray-Ban Meta sesuai untuk kegunaan harian di luar atau di kawasan tertutup.
Dipasarkan pada harga anggaran RM1,599 hingga RM1,999 bergantung kepada model dan kanta pilihan, Ray-Ban Meta menawarkan kombinasi menarik antara fesyen dan teknologi serta menepati keperluan era moden.
Dalam kata mudah, Ray-Ban Meta bukan sekadar melindungi mata daripada matahari tetapi berkemampuan menjadi alat pintar serba boleh dan memudahkan kehidupan harian pengguna.














