fbpx
ANTHONY Loke melihat keadaan bas pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti Bas.My Kota Setar di Dataran Medan Bandar, Alor Setar, hari ini.

Pemandu bas ‘pink’ diingat patuh had laju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Pengendali bas bagi program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) atau Bas.My diingatkan supaya mematuhi peraturan jalan raya, khususnya berkaitan had kelajuan bagi mengelak insiden tidak diingini termasuk kemalangan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarikat bas terlibat juga perlu mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk aspek latihan kepada pemandu.

“Sudah tentu kita nak mensyaratkan syarikat-syarikat bas ini sentiasa mematuhi peraturan iaitu dari segi kelajuan dan latihan pemandu. Itu SOP yang telah kita perkenalkan kepada pengendali syarikat bas,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti Bas.My Kota Setar di Dataran Medan Bandar, di sini hari ini.

Beliau berkata, kemalangan maut yang melibatkan bas tersebut di daerah ini baru-baru ini masih dalam siasatan polis bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Polis yang akan buat siasatan, kita hanya bantu dari segi siasatan teknikal. Dari segi pendakwaan dan sebagainya iaitu sama ada pemandu itu cuai atau tidak, sama ada akan didakwa atau tidak, itu terpulang kepada siasatan polis seterusnya kepada peguam negara,” ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, pihaknya juga telah meminta syarikat bas menghulurkan bantuan kewangan segera kepada keluarga mangsa terlibat.

Sementara itu, kata beliau, Kerajaan Persekutuan melaburkan sebanyak RM78.50 juta bagi tempoh lima tahun atau RM15.70 juta setahun bagi memastikan perkhidmatan Bas.My Kota Setar mencapai kejayaan.

“Ini merupakan jumlah yang besar dan seharusnya dimanfaatkan bagi setiap sen yang dikeluarkan demi kesejahteraan rakyat. Ia adalah model baharu kita iaitu kerajaan bayar nilai kontrak itu supaya pengendali bas tidak menanggung risiko.

“Kalau kita bagi kontrak, mereka akan rasa lebih yakin dan berani nak melabur untuk membeli bas-bas baharu. Jadi, dengan adanya kontrak yang bukan setahun tetapi lima tahun, pengendali bas yang menang tender boleh guna dokumen kontrak itu untuk dapatkan pinjaman bank,” jelasnya.

Katanya, menerusi kontrak tersebut, pengendali bas mempunyai kepastian untuk membuat pembayaran balik kepada pihak bank.

“Namun begitu, mereka kena melaksanakan tugas iaitu perlu memastikan bas mengikut jarak dan laluan ditetapkan, tidak boleh lewat dan perlu ikut jadual. Kalau tak ikut jadual, APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) akan tolak bayaran kepada mereka.

“Dengan adanya model ini, kita tidak takut lagi bas-bas akan terlewat atau tidak beroperasi. Kalau dulu, kita tahu perkhidmatan bas henti-henti banyak aduan, kadang kala bas tidak berjalan, tidak ikut laluan dan ada tempat yang patut berhenti tapi tak berhenti. Jadi, semua masalah itu kita cuba selesaikan,” katanya.

Tambahnya, seramai 30,488 penumpang telah menikmati perkhidmatan Bas.My Kota Setar pada bulan pertama pelaksanaannya sejak 1 Jun lalu dan angka itu dijangka mencecah 50,000 orang pada bulan ini.

“Saya galakkan pengguna mengambil pas perjalanan tanpa had 30 hari dengan bayaran RM50, manakala kad konsesi Bas.My dengan tambang percuma disediakan untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), pelajar sekolah berusia tujuh hingga 17 tahun serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI