PETALING JAYA – Memiliki pengalaman luas dalam bidang penjagaan kesihatan dan terlibat secara khusus dalam operasi beberapa hospital memberi satu kelebihan terbaik kepada seorang usahawan ini untuk menceburi bidang pengeluaran produk suplemen.
Ia merupakan nilai tambah kepada bisnes, sekali gus memberi kepuasan kepada Pengasas Alfarhain Holding Sdn. Bhd., Dr. Afif Mohd. Ridzwan, 44, untuk melihat lebih ramai masyarakat mendapat manfaat kesihatan dengan mengamalkan cara hidup sihat, selain menjadi pelanggan tetap perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikatnya.
Melalui misi untuk membantu masalah terutamanya berkaitan dengan tekanan kerja dan pemakanan yang tidak seimbang sehingga menjadi penyebab kepada gangguan sistem penghadaman, usahawan yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini berusaha gigih mengeluarkan produk untuk membantu masyarakat.
Afif mula membuat kajian dan pembangunan (R&D) terhadap bahan mentah utama melibatkan ekstrak daun senna dan ekstrak halia bara, iaitu dua bahan semula jadi yang telah lama dikenali dalam dunia perubatan tradisional.
“Semua orang tahu daun senna dan halia bara memiliki kelebihan tersendiri kepada kesihatan masyarakat dan ia juga selamat digunakan.
“Jadi saya yakin produk yang menggunakan bahan mentah ini memiliki keunikannya tersendiri dan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi pelanggan,” katanya dalam satu pertemuan di sini baru-baru ini.

Afif yang pernah berkhidmat di hospital awam selama empat tahun menerangkan, inovasi produk tersebut turut mengambil kira jumlah dos yang diperlukan bagi memberi manfaat terbaik, jadi perincian dalam R&D sangat diutamakan meskipun terpaksa mengambil masa yang lama agar syarikat dapat menawarkan produk berkualiti.
“Sehingga kini, sambutan yang diterima terhadap produk sulung syarikat, yang mula diperkenalkan awal tahun ini pada harga RM39.90 sebotol sangat menggalakkan, disokong testimoni positif yang menjadi pencetus kepada peningkatan jualan.
“Lebih menarik, kami telah melantik penyampai radio popular, Fizie Roslan menjadi duta produk bertujuan untuk membantu mempromosikan EnerVast dan meningkatkan kesedaran serta mengukuhkan keyakinan pelanggan,” jelasnya.
Afif menyimpan impian untuk melihat produknya menjadi satu keperluan utama bagi setiap isi rumah di negara ini dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Melihat kepada sambutan dan kejayaan EnerVast, usahawan ini semakin aktif membuat perancangan untuk meluaskan lagi penawaran produk agar dapat memenuhi keperluan pelanggan yang kini berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan.
Jelasnya, syarikat kini sedang menjalankan R&D untuk membangunkan variasi baharu seperti EnerVast Advance dan EnerVast Plus yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.
“Ia bukan sekadar produk kesihatan tetapi adalah hasil inovasi, keprihatinan dan kepakaran dalam memastikan rakyat menuju kehidupan yang lebih sihat secara semula jadi,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Afif yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain menjelaskan, pihaknya prihatin dengan nasib golongan kurang berkemampuan yang sedang berdepan dengan masalah kesihatan dan perlu merujuk kepada hospital.
Menurut beliau, pusat rawatannya bersedia membantu meringankan beban dengan menawarkan rawatan percuma kepada kumpulan tersebut.
‘Sebenarnya kami sudah lama membantu golongan susah dan memerlukan untuk mendapatkan rawatan. Kesihatan adalah hak semua tanpa mengira status atau latar belakang.
“Sejak awal penubuhan pusat rawatan ini, kami mengadakan banyak program dengan memberi rawatan percuma kepada golongan asnaf dan orang kurang upaya (OKU),” katanya.
Bagi Afif, golongan asnaf dan OKU berhak mendapat layanan baik agar kesihatan mereka terjamin.
Beliau yang pernah berkhidmat di Hospital Kajang, Selangor sebelum ini telah menganjurkan pelbagai program bagi memberi kesedaran tentang kesihatan di pelbagai lokasi sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat.
Pusat Rawatan Al Farhain yang dibuka pada awal tahun 2020, kini mempunyai 11 cawangan klinik dan antaranya terletak di Ketereh, Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Pasir Putih, Kuala Krai dan Jeli di Kelantan; Jerteh, Terengganu; serta Raub, Kuala Lipis dan Cameron Highlands, Pahang.
Selain itu, pihaknya turut mengusahakan Pusat Dialisis Al Ehsan dan Pusat Dialisis Berkat Seroja.