PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran susulan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di enam negeri sehingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang itu dijangka melibatkan Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Johor, dan Sarawak.
“Di Pahang cuaca buruk dijangka melanda Raub, Jerantut, Bentong, Maran, Bera dan Rompin. Manakala, Selangor pula di Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.
“Selain itu, di Negeri Sembilan pula ribut petir dijangka berlaku di Jelebu. Manakala, di Johor pula kawasan dijangka terjejas adalah Kluang, Mersing dan Kota Tinggi,” lapor MetMalaysia.
Cuaca buruk juga dijangka berlaku di Sarawak di Daro, Matu, Dalat dan Mukah. -KOSMO! ONLINE