MELAKA – Ibu kepada Nor Alieya Maisarah Mohd. Hassan, 14, remaja yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Taman Seri Telok Mas dekat sini sejak 8 Mei lalu, yakin anaknya itu ingin pulang ke rumah tetapi telah dihalang oleh individu tertentu.
Menurut Noorlaili Mahat, 53, naluri ibunya kuat mengatakan anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak ditimpa sebarang kemalangan atau perkara tidak diingini tetapi menghilangkan diri kerana mendengar kata pihak ketiga.
Ujarnya, sehingga kini dan suami, Mohd. Hassan Elias, 52, masih tidak berputus asa mencari Maisarah di kawasan berpotensi dikunjungi remaja tersebut termasuk di sekitar rumah ibu saudaranya di Seremban, Negeri Sembilan.
“Mak cik rasa Adik (Maisarah) nak balik tetapi ada orang tahan, dia memang ada (hidup) lagi, mak cik percaya.
“Sehingga kini kami sekeluarga termasuk kakaknya masih mencarinya, namun tiada sebarang petunjuk. Kawan-kawannya juga tidak tahu keberadaannya,“katanya dengan nada hiba ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.
Mengulas lanjut dia memberitahu, setakat ini pihak polis juga belum dapat memaklumkan sebarang perkembangan positif mengenai remaja tersebut.
“Cuma dua minggu lepas pasukan polis ada datang ke rumah dan ambil sampel rambut, sikat dan baju Adik untuk tujuan Ujian asid deoksiribonukleik (DNA). Polis pun masih kesan dia, tak tahu dia ni pergi mana,” katanya.
Tambahnya, dia bagaimanapun yakin anak gadisnya itu tidak mempunyai teman lelaki untuk dikaitkan dan kemungkinan menghilangkan diri disebabkan merajuk susulan pernah dimarahinya kerana tidak mahu bersekolah.
Kosmo! pada 25 Jun lalu melaporkan Nor Alieya Maisarah Mohd. Hassan, 14, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Seri Telok Emas dengan membawa beg sekolah dan beberapa helai pakaian.
Ibunya, Noorlaili berkata, kali terakhir dia berjumpa anak bongsunya itu adalah pada pukul 4 petang hari sama sebelum keluar bekerja di sebuah restoran ikan bakar.
Ujarnya, anak keduanya berusia 16 tahun kemudian memaklumkan bahawa remaja tersebut telah tiada di rumah, manakala telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi.
“Apabila pulang saya lihat beg sekolahnya dan beberapa helai pakaian miliknya sudah tiada, kami buat laporan polis pada hari sama,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Maisarah boleh menghubungi Noorlaili di talian 014-3818326.