KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan segelintir ahli politik yang menjadikan perhimpunan jalanan sebagai pentas untuk meluahkan pandangan politik, sekali gus meminggirkan peranan institusi sah seperti Parlimen.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, Parlimen seharusnya kekal sebagai medan utama perbahasan dasar dan kepimpinan negara, bukannya digantikan dengan laungan slogan dari pentas sementara di atas jalan raya.
“MCW mempersoalkan kewajaran tindakan pemimpin yang lebih gemar melaungkan slogan lapuk di tengah jalan berbanding berbahas secara bermaruah di Parlimen.
Kepimpinan bukan diukur melalui siapa yang paling lantang, tetapi siapa yang paling ikhlas dan bijaksana mewakili rakyat di Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, MCW juga kesal melihat pengorbanan para penyokong biasa yang sanggup datang dari jauh, meninggalkan pekerjaan dan tanggungjawab harian demi menghadiri perhimpunan yang tidak jelas matlamat sebenar perjuangannya.
“Mereka hanya dijadikan latar untuk gambar-gambar media sosial yang dirancang rapi oleh penasihat politik. Adakah ini benar-benar lambang kuasa rakyat atau sekadar manifestasi keangkuhan yang dibungkus kemas untuk membakar emosi?” soalnya.
Jelas Jais, dalam sebuah demokrasi matang, kepimpinan dinilai melalui dasar yang kukuh, ketelusan dan penghormatan terhadap institusi, bukan melalui bilangan pengikut yang keliru mahupun aksi dramatik di jalanan.
“Malangnya, bagi sesetengah pemimpin, Parlimen dianggap terlalu tertib untuk sandiwara dan peti undi terlalu jujur untuk muslihat.
“Maka, jalan raya menjadi pilihan tempat di mana akal diganti dengan gema, tanggungjawab diganti dengan sorakan,” katanya.
Sehubungan itu, MCW menggesa semua parti politik untuk kembali kepada landasan perbincangan yang membina dan matang.
“Rakyat berhak mendapat pemimpin yang memperkukuhkan demokrasi melalui integriti, bukannya memperalatkan demokrasi demi kepentingan peribadi atau persembahan politik,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE