PETALING JAYA – Menghasilkan ‘content’ dengan mengusik budak-budak yang sedang bermain di jalanan di Malaysia nampaknya tidak menjadi seperti yang dilakukan pempengaruh media sosial luar negara terutamanya di negara jiran.
Kebiasaan apabila diusik atau ditakut-takutkan dengan perkataan ‘kepala budak’ maka, biasa dalam kandungan video kanak-kanak akan lari ketakutan.
Bahkan jika dikejar, kanak-kanak jalanan ini akan terus berlari kerana merasakan kejadian yang mereka lalui itu adalah kejadian penculikan sebenar.
Namun, apa yang berlaku di salah satu lokasi yang tidak dinyatakan di Malaysia, seorang budak lelaki berbangsa India secara berani menyatakan ayahnya menjual kepala budak.
“Nak kepala budak? Ayah saya ada jual. Semua ada tu, oren pun ada. Kalau nak tengok yang lain macam tangan ke awak pergi ke kedai ayah di hadapan tu,” jelasnya.
Rata-rata orang ramai yang menyaksikan klip tersebut menyatakan kemungkinan budak itu salah faham di antara buah kelapa dan kepala budak.
“Aku syak dia silap dengar ni. Aku rasa ayah dia jual air kelapa tu,” kata Hiesyam Fakri.
“Ingat budak dekat Malaysia main-main ke? Memang budak ni jenis tak undur punya orang,” tulis Syaiful Izam. – KOSMO! ONLINE