BERMULA sejak era 1990-an, gabungan elemen rock Barat dengan semangat serta estetika Jepun telah mencetuskan fenomena muzik global dikenali sebagai J-Rock.
Di Malaysia, genre ini semakin mendapat tempat menerusi pengaruh anime popular seperti Naruto dan One Piece, selain acara budaya seperti Comic Fiesta yang membuka ruang kepada peminat tempatan untuk mendekati muzik Jepun.
Dalam perkembangan ini, muncul sebuah kumpulan muzik tempatan bernama Rakuza yang membawa semangat J-Rock ke dalam konteks Malaysia dengan pendekatan tersendiri.
Diterajui oleh Nurhafizi Daud atau lebih dikenali sebagai Yong, kumpulan ini lahir daripada gabungan minat terhadap muzik Jepun, animasi serta nostalgia lagu-lagu anime yang membentuk zaman kanak-kanak mereka dari era 1990-an hingga kini.
Menurut Yong, penubuhan Rakuza bukan sekadar projek suka-suka, sebaliknya merupakan satu misi untuk menyumbang kepada kepelbagaian muzik tempatan yang masih terbuka luas untuk diterokai.
“Kami tubuhkan Rakuza bukan sekadar suka-suka. Misi kami adalah untuk memperkaya landskap muzik tempatan melalui sentuhan J-Rock.
“Ia bukan sahaja dari segi bunyi, tetapi juga semangat dan emosi yang dibawa. J-Rock ada jiwanya yang tersendiri dan kami mahu salurkan jiwa itu dalam karya kami,” jelasnya.
Rakuza dianggotai enam individu yang masing-masing memainkan peranan penting dalam membentuk identiti dan bunyi kumpulan tersebut.
Yong selaku vokalis utama mengetuai barisan ahli yang terdiri daripada Zulkarnain Jailani selaku pemain gitar utama, Ahmadi Jamal di posisi gitar ritma, Amin Nasrullah posisi bass, Nurin Yuzmaira sebagai pemain keyboard dan Muhammad Reza Fitri yang menggalas peranan sebagai pemain dram.
Menurut Yong yang berasal dari Kelantan, elemen visual dan persembahan turut memainkan peranan besar dalam pembentukan identiti Rakuza. Mereka memberi perhatian kepada tiga aspek utama iaitu kostum, logo dan persembahan pentas.

Setiap anggota tampil dengan gaya tersendiri seperti jaket atau pakaian jenis coverall, namun tetap kelihatan seragam melalui pemilihan warna dan pemakaian kaca mata hitam berbentuk segi empat.
Logo kumpulan pula diinspirasikan daripada elemen Jepun seperti bulatan merah dan bentuk samurai yang memperkukuh lagi konsep J-Rock yang mereka bawa.
Di pentas, persembahan mereka digerakkan oleh tenaga dan disiplin, dengan koreografi tersusun serta penggunaan simbol-simbol animasi yang memberi makna lebih mendalam.
Mereka bukan sahaja mempersembahkan lagu ciptaan sendiri, malah turut membawakan lagu-lagu cover daripada anime ikonik seperti Dragon Ball, Naruto dan Digimon.
Keunikan Rakuza turut terserlah melalui penggunaan lirik dalam pelbagai bahasa iaitu Jepun, Melayu dan Inggeris.
Pendekatan tersebut bukan sahaja mempamer kepelbagaian budaya, malah menggambarkan identiti mereka sebagai artis tempatan yang berfikiran global.
Setakat ini, Rakuza telah membuat persembahan di acara Bunkasai anjuran UTAR dan J-Rock Event oleh SpectrumRays, kedua-duanya berlangsung di Kuala Lumpur.
Persembahan mereka yang seterusnya adalah melalui Program Voices Season 3 oleh Raja Farouk Live diuruskan oleh Noizu.
Melalui program ini, pemenang akan membuat persembahan di Noizucon.Re.Imagined pada 12 Oktober 2025 bersama Raja Farouk Live.
Rakuza meletak harapan tinggi untuk menjadi sebahagian anggota persembahan pada program itu nanti.
Tambah Yong, dia turut mengikuti kelas bahasa Jepun sebagai sebahagian daripada usaha memperhalusi mutu persembahan mereka.
“Hanya saya sebagai vokalis yang mengambil kelas bahasa Jepun, khusus untuk pertuturan, bukan membaca atau menulis. Setakat ini, saya masih di peringkat asas.
“Tujuannya adalah untuk menguasai sebutan yang betul. Namun sebagai penyanyi, penting juga untuk memahami maksud lirik.
“Dengan belajar bertutur dalam bahasa Jepun, lebih mudah untuk saya menghayati makna dan memastikan sebutan yang tepat,” katanya.














