HANYA berbekalkan satu lagu, sudah cukup untuk menggoncang persada seni dan menakluk carta muzik tanah air.
Namun, seperti api yang menyala seketika sebelum padam dalam kelam, ada penyanyi hanya sempat mencipta sejarah menerusi satu dendangan sahaja sebelum nama mereka terbang ditiup angin masa. Segalanya bagaikan mimpi manis yang tidak sempat menjadi nyata sepenuhnya.
Populariti mencanak tinggi, wajah menjadi buruan media, namun sebaik lagu berhenti diputarkan, langkah seni juga seakan perlahan dan kabur dalam radar industri.
Gala minggu ini menampilkan lima penyanyi yang pernah mencipta fenomena dengan satu lagu hit, namun kemudian perlahan-lahan hilang. Hanya yang cekal mampu bertahan itupun bukan bersandarkan nyanyian semata-mata.
Ana Raffali
Tahun 2011 menyaksikan kejutan besar dalam sejarah Anugerah Juara Lagu apabila Tolong Ingatkan Aku nyanyian Ana Raffali menewaskan nama-nama besar seperti Yuna dan Faizal Tahir.
Momen itu disifatkan sebagai titik paling tinggi dalam karier seni pemilik nama sebenar Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali itu.
Malangnya, nama Ana selepas itu semakin tenggelam, malah ramai mula melabelnya sebagai ‘artis mi segera’ yang hanya menumpang nama dari satu lagu sahaja.
Kejayaannya dalam AJL25 yang sepatutnya menjadi permulaan agung, bertukar menjadi kemuncak yang sukar ditawan semula.
Hari ini, Ana Raffali lebih dikenali sebagai seorang pendidik, meninggalkan sorotan pentas demi ketenangan jiwa dan misi mendidik anak bangsa.
Nuha Bahrin dan Naufal Azrin
Tatkala Nuha Bahrin dan Naufal Azrin menyanyikan Casablanca, iramanya seolah-olah membawa peminat melayang ke Timur Tengah, dengan lenggok Arabik memukau dan vokal bertenaga memanah perasaan.
Lagu ciptaan Daqmie dan lirik Abdul Karim Al Ali itu mencipta sejarah tersendiri sebagai lagu tempatan pertama menduduki carta teratas Spotify Viral 50 Global.
Dengan lebih 38 juta tontonan di YouTube, pasangan duet muda itu pernah menjadi buruan produksi negara jiran dan mendapat perhatian di Asia Tenggara.
Namun, ibarat pasir gurun ditimpa badai, fenomena itu tidak bertahan lama. Nama mereka semakin sunyi daripada radar meskipun pernah menjadi bualan ramai.
Selepas Casablanca, tiada lagu yang berjaya menggantikan aura luar biasa tersebut. Industri pula terus berputar, meninggalkan mereka sebagai sekadar kisah gilang-gemilang yang berlalu.
Nana Sheme
Nama Nana Sheme mungkin asing bagi generasi baharu, namun pada zamannya, lagu Hantu Atau Buaya pernah menjadi ledakan dahsyat dalam dunia muzik tempatan.
Keunikan vokal pemilik nama sebenar Nabilah Hashimi itu menyelinap masuk ke segenap minda pendengar yang segera jatuh cinta dengan melodi dan lirik lagu ‘catchy’.
Lagu tersebut bagaikan menjadi bayangan tetap dalam kariernya, diulang, didendang dan ditanya dalam setiap temu bual.
Pernah mencuba nasib dalam program Big Stage musim ketiga demi mengembalikan gemerlapan nama, namun usaha itu tidak cukup untuk menyinarkan semula perjalanan seninya. Peminat hanya mengingati satu lagu, sedangkan wanita berusia 30 tahun itu hadir dengan lebih dari itu.
Saixse
Lagu Malam Pagi nyanyian Saixse yang pernah menjadi audio viral dalam TikTok bahkan meraih lebih 20 juta tontonan di YouTube membuka lembaran manis buat penyanyi muda itu.
Melodi dan lirik yang sangat mengena dengan jiwa generasi Z seperti membawa warna baharu dalam industri muzik tempatan.
Pemilik nama sebenar Saiful Sabir itu menjadi kegilaan generasi Z sehingga lagu itu kerap diminta peminat untuk dinyanyikan dalam pelbagai festival muzik mega seperti SupaLupa dan Muzik Neon Festival.
Berada di kemuncak karier ketika itu, nama jejaka berusia 23 tahun itu meniti bibir penggiat seni yang merasakan dirinya bakal menjadi pelapis generasi baru muzik tempatan.
Namun sayangnya, selepas itu tidak banyak yang boleh dibanggakan. Lagu-lagu susulan gagal mencipta impak sekuat Malam Pagi kendati sudah berhempas-pulas.
Haiza
Bermula sebagai penyanyi remaja seawal usia 15 tahun, Haiza pernah mewarnai zaman kegemilangan dangdut Malaysia menerusi lagu Dag Dig Dug yang masih segar dalam ingatan hingga kini.
Begitu pun, selepas menghasilkan enam album dan mencuba pelbagai genre termasuk pop, irama asli dan balada, pemilik nama sebenar Rohaizah Nordin itu masih tidak dapat melepasi bayang lagu lamanya. Dag Dig Dug kekal sebagai satu-satunya lagu yang menjadi identiti dirinya hingga ke hari ini.
Pelbagai strategi sudah dicuba, daripada menukar imej sehinggalah menjelajah ke genre baharu, semuanya tidak mampu memintas kejayaan lampau.
Bagaimanapun, wanita berusia 45 tahun itu tidak pernah mengalah, malah kekal aktif dan mencuba pelbagai cabang seni, termasuk bidang lakonan dan penyiaran. Tidak dinafikan, sebagai penyanyi, Haiza tetap diingati sebagai bintang satu lagu yang hanya bersinar pada era 1990-an. Buktinya, dia masih relevan, bukan hanya sebagai penyanyi tetapi hos dan penyampai radio.