PARIS – Sebuah karya seni artis dari Itali, Maurizio Cattelan yang memaparkan pisang segar dilekat pada dinding, dimakan oleh pengunjung sebuah muzium di Perancis, lapor saluran berita CNN semalam.
Karya bertajuk Comedian itu dimakan pengunjung galeri di Centre-Pompidou Metz, timur Perancis pada 12 Julai lalu.
“Pasukan keselamatan bertindak pantas dan tenang serta mengikut prosedur dalaman,” kata galeri itu dalam satu kenyataan.
“Karya seni itu dipasang semula beberapa minit kemudian,” katanya sambil menambah, pisang adalah unsur mudah rosak yang diganti secara tetap mengikut arahan Cattelan.
Galeri itu belum membuat laporan polis setakat ini.
Insiden itu merupakan kali keempat Comedian dimakan oleh pengunjung. Ia termasuk seorang pengasas platform mata wang kripto dari China, Justin Sun yang memakan karya tersebut selepas membelinya pada harga AS$6.24 juta (RM26.3 juta) dalam sebuah acara lelongan. – AGENSI