TELUK INTAN – Misteri bau busuk dari sebuah rumah pusaka milik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar di Sungai Nibong dekat sini terungkai dengan penemuan rangka manusia di kediaman itu, Sabtu lalu.
Rangka itu dipercayai milik anak bongsu kepada bekas ADUN Pasir Bedamar pada tahun 1959, Wah Keng Jooi.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, maklumat berkaitan kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis pada pukul 2.24 petang oleh seorang lelaki berusia 78 tahun.
Katanya, pengadu memaklumkan telah pergi ke lokasi kejadian untuk melawat adiknya pada pukul 11 pagi namun berasa pelik apabila terhidu bau busuk dari dalam rumah kayu dua tingkat itu.
“Lelaki terbabit tidak dapat naik ke tingkat atas rumah kayu itu untuk memeriksa keadaan adik lelakinya memandangkan tangga ke tingkat atas telah reput.
“Anggota yang menerima laporan kes itu segera ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan sebelum menjumpai tengkorak dan rangka serta barang peribadi milik mangsa di tingkat atas rumah,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, turut dijumpai di sisi mayat lelaki berusia 75 tahun itu ialah seekor anjing peliharaannya.
Tambah beliau, rangka dan tengkorak yang dijumpai itu telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat.
“Kita sedang menunggu pakar forensik dari Hospital Raja Permasuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk menjalankan bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE