PARIT – Polis menahan tiga lelaki dan merampas pelbagai barangan bernilai RM31.3 juta selepas menyerbu sebuah kilang haram memproses sisa elektronik (e-waste) di kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Senggang di sini semalam.
Serbuan di premis tidak bernombor pada pukul 9 pagi itu dijalankan Cawangan Risik Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor dan Batalion 1 Briged Utara, Ulu Kinta dibantu oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dan Majlis Daerah Perak Tengah.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, pemeriksaan di premis disyaki menjalankan aktiviti memproses e-waste secara haram itu menemui pelbagai peralatan dan kelengkapan selain bongkah-bongkah e-waste yang telah dimampatkan dan belum diproses.
“Pemeriksaan di kilang tersebut menemui 81 bongkah disyaki e-waste dengan anggaran berat 105,300 kilogram (kg) dan arang batu seberat 5,000kg.
“Selain merampas bahan tersebut, kita turut menyita sebuah lori dan dua buah kenderaan pacuan empat roda dengan nilai rampasan berjumlah RM31,337,000. Tiga lelaki warga tempatan berusia antara 35 hingga 70 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Katanya, siasatan kes itu dilakukan Cawangan Risik Batalion 3 PGA bagi mengesan individu atau sindiket yang menjalankan aktiviti pemprosesan sisa e-waste tanpa lesen dan permit yang sah mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. – KOSMO! ONLINE














