fbpx
Allahyarham Muhammad Ikmal.

Empat hari kena virus kencing tikus ragut nyawa Along

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Dalam masa empat hari sahaja, habis buah pinggang, paru-paru, saraf dan jantungnya.”

Itu antara luahan seorang bapa, Mohd Azizuddin Aziz, yang kehilangan anak sulungnya, Muhammad Ikmal Azizuddin, selepas disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman leptospirosis atau dikenali sebagai penyakit kencing tikus.

Dalam satu hantaran di Facebook, dia berkata kejadian bermula apabila arwah menyertai aktiviti pendakian bukit bersama rakan-rakannya pada Ahad lalu.

Selepas itu, anaknya mula menunjukkan simptom muntah serta cirit-birit, lalu mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta dan ketika itu, doktor hanya menganggap ia sebagai demam biasa.

“Hari Selasa, Along dah mula rasa tak sihat, muntah-muntah dan cirit-birit. Dia terus ke klinik, tetapi hanya dibekalkan ubat demam dan sakit badan.

“Hari Rabu dan Khamis, kesihatannya semakin merosot dan akhirnya dihantar ke klinik swasta untuk rawatan susulan. Setelah rawatan dilakukan, Along dibekalkan satu salinan surat untuk dirujuk pada Hospital Besar Melaka serta hatinya mula terdetik ini bukan sakit biasa-biasa,” tulisnya menerusi hantaran tersebut.

Dia turut berkata arwah sempat bercakap buat kali terakhir dengan ahli keluarganya dan menyatakan dirinya masih kuat sebelum tidak sedarkan diri.

Katanya, doktor mengesahkan kematian anak sulungnya ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan ke Hospital Besar Melaka.

“Hampir pukul 08.30 malam, panggilan terakhir masuk dari Hospital Besar Melaka memaklum Along sudah menghembuskan nafas terakhirnya.

“Setibanya kami di sana, kami masuk dalam bilik mayat dan melihat Along dah terbujur kaku, mukanya yang tenang , mulutnya yang sedikit tersenyum pada hidungnya penuh darah yang sedang mengalir tanpa henti selama lima jam,” ujarnya.

Dia turut memaklumkan bahawa doktor mengesahkan jangkitan kuman berpunca daripada tin minuman yang dibeli arwah semasa mendaki bukit dan diminum tanpa dibasuh terlebih dahulu.

“Doktor memaklumkan kuman kencing tikus bukan datang dari pokok yang beracun tapi dari tin minuman yang dia beli sendiri dan tanpa basuh Along terus buka dan minum pada hari pendakian bukit tersebut.

“Dalam masa empat hari sahaja serangan kuman secara diam telah menghancurkan buah pinggang, paru-paru, saraf dan jantung anak saya. Dalam empat hari sahaja, kuman itu merosakkan seluruh sistem tubuh anak saya,” jelasnya.

Mohd Azizuddin juga sempat menasihati orang ramai agar mengambil iktibar dan lebih berhati-hati selepas apa yang berlaku kepada anaknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI