KOTA BHARU – Seramai 18 daripada 20 peserta yang diperiksa semasa perjumpaan kumpulan gay di sebuah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini tengah bulan lalu berasal dari Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, dua lagi individu melibatkan seorang lelaki dari Perak manakala seorang lagi berasal dari Besut, Terengganu yang merupakan pelajar di institusi pengajian tinggi di negeri ini.
“Hasil dokumentasi yang dijalankan terhadap 20 lelaki itu mendapati 18 individu berasal dari Kelantan, seorang dari Perak dan seorang lagi dari Terengganu.
“Hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit kesemua lelaki itu mendapati, tiga daripada mereka memiliki video lucah melibatkan hubungan sesama jenis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, sebahagian daripada mereka juga mengaku pernah melibatkan diri dalam aktiviti seks sejenis.
Menurutnya, serbuan di rumah itu turut menjumpai beratus kondom dan beberapa kotak ubat ubat virus kurang imun (HIV) di dalam bilik.
“Tiga lelaki yang memiliki bahan lucah telah dituduh dan mengaku bersalah mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaaan.
“Mereka membayar denda sebanyak RM3,000 hingga RM 4,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Majistret di sini pada 20 Julai lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE