JELEBU – “Walaupun telefon iPhone 11 itu sudah lama tetapi ia sangat penting dan banyak kandungan tugasan akhir disimpan di dalamnya.”
Itulah alasan yang menjadi sebab seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam menghubungi Angkatan Pertahanan Awam untuk mengambil telefon bimbitnya yang terjatuh ke curam Bukit Batu Sawa di sini 12 Julai lalu.
Rakannya, Aimy, 20-an, berkata, telefon itu juga mempunyai nilai sentimental.
Mengimbau semula kejadian itu, Aimy memberitahu, mereka bertiga sampai di puncak bukit itu pada pukul 9 pagi tetapi perlu menunggu giliran untuk mengambil gambar di dua lokasi hingga pukul 11 pagi.
Katanya, telefon itu disedari hilang oleh rakannya selepas selesai mengambil gambar.
“Telefon itu terjatuh ketika disimpan dalam poket baju yang tidak dizipkan. Kami boleh nampak telefon itu tetapi dinasihatkan oleh pendaki lain supaya menghubungi penyelamat atas faktor keselamatan.
“Tidak lama kemudian abang APM tiba dan mereka dapat ambil dan serahkan kepada rakan saya. Dalam telefon itu ada banyak benda penting,” katanya ketika dihubungi.
Menurut AImy, situasi itu tidak dijangka hingga ada yang menganggap mereka ‘gedik’ apabila video itu tular.
“Jika terjatuh dalam gaung, mungkin kami tidak akan menyusahkan pasukan penyelamat. Telefon itu cuma pecah sedikit di bahagian belakang, namun masih berfungsi dengan baik,” katanya.
Terdahulu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu, Lt (PA) Mohd. Najib Abdul Karim berkata, pihaknya menerima panggilan di luar kebiasaan menyelamatkan telefon bimbit itu kira-kira pukul 11.45 pagi pada 12 Julai lalu.
Menurutnya, panggilan dibuat oleh kakitangan Jabatan Perhutanan dan mangsa iaitu seorang wanita berusia 20an memohon agar talefon pintarnya yang jatuh di curam bukit.
“Sebaik tiba di lokasi iaitu Bukit Batu Sawa, pasukan APM melihat mangsa dan rakannya dan terus berjumpa dengan mangsa. Kemudian, salah seorang anggota memakai peralatan perlindungan diri.
“Anggota membuat harnes menggunakan tali dengan ikatan simpul kerusi dan turun menggunakan teknik normal repailing.
“Kedalaman dianggarkan 10 meter dengan keadaan permukaan batu yang licin. Telefon itu kemudian diserahkan kepada mangsa pada pukul 1.38 tengah hari,” katanya.














