fbpx
Warga asing sanggup bekerja keras di Malaysia demi kesenangan masa depan. - GAMBAR HIASAN

‘Kerja di Malaysia saya ada rumah, tanah dan kedai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Seorang pekerja asing dari Bangladesh memberitahu penulis dia akan pulang ke kampung halamannya tidak lama lagi. Selama bekerja di Malaysia, dia sudah membina sebuah rumah dan membeli sebidang tanah di negara asal.

Warga asing berusia 38 tahun itu kini memiliki sebuah kedai runcit yang diuruskan oleh adiknya di Dhaka.

“Saya sudah simpan sedikit wang, mahu rehatlah abang. Sekarang mahu bawa keluarga pergi makan angin,” katanya.

Itu kisah tentang Abu Munir yang bekerja dalam sektor buruh di Malaysia sejak berusia 19 tahun.

Mungkin bagi lelaki ini, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, jadi lebih baik di negeri orang. Ironinya, rakyat Malaysia bekerja dalam sektor sama belum pasti beruntung seperti lelaki Bangladesh tersebut.

Rakyat Malaysia yang bekerja sehingga usia persaraan 60 tahun belum tentu dapat memiliki sebidang tanah dan kedai runcit. Berdasarkan rekod rasmi kerajaan, terdapat 898,970 pekerja Bangladesh di Malaysia setakat Februari lalu.

Seramai 1.4 juta pekerja asing dari lain-lain negara juga direkodkan sedang bekerja di negara ini. Mereka dilihat berjalan kaki atau berbasikal secara berkumpulan ke tempat kerja sambil membawa botol air.

Tetapi di negara asal barangkali mereka setara T20 yang menjadi sanjungan keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai.

Itulah natijah pengorbanan mereka yang sanggup bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

Merentasi lautan berkelana di negara orang demi mengorak masa depan lebih baik buat diri dan keluarga. Sebenarnya, kisah pengorbanan seperti Abu Munir juga dilakukan oleh segelintir rakyat Malaysia.

David Koh, 49, menceritakan kepada penulis dia bekerja sebagai tukang cuci pinggan di luar negara selama 10 tahun.

Dia dan isterinya nekad meninggalkan Malaysia untuk bekerja di sebuah restoran makanan Cina di Amerika Syarikat.

“Selepas selesai segala hutang termasuk rumah, baru kami pulang. Tiada hutang kepala pun tak sakit.

“Anak yang masih kecil tinggal sama orang tua di Cheras. Setiap bulan kami kirim wang,” katanya.

Akan tetapi tidak semua rakyat Malaysia yang berkelana di luar negara bernasib baik seperti David Koh.

Sebilangan mereka menjadi mangsa penipuan sindiket pemerdagangan manusia apabila dikerah bekerja tanpa gaji. Berdasarkan laporan media, seramai 637 rakyat Malaysia menjadi mangsa penipuan pekerjaan di luar negara.

Jumlah mangsa itu berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia sejak Januari 2021 hingga 10 Mac lalu.

Berdasarkan keadaan tersebut, nasib pekerja Bangladesh yang bekerja di Malaysia dilihat jauh lebih terjamin.

Penasihat Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh akan memastikan kebajikan mereka. Bangladesh memeterai memorandum persefahaman dengan negara lain bagi pengambilan rakyatnya sebagai pekerja.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia pula, mereka merantau untuk bekerja di negara lain atas inisiatif sendiri. Ini risiko besar yang perlu dihadapi untuk mendapat masa depan yang lebih baik seperti Abu Munir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN