SUNGAI PETANI – Keluarga kepada pelajar lelaki yang menjadi mangsa pukul rakan sekelas dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini semalam mahu kes tersebut diadili mengikut proses undang-undang.
Bapa kepada pelajar tingkatan tiga itu berkata, dia tidak bercadang untuk menarik balik laporan polis yang dibuat selepas insiden yang menimpa anaknya itu tengah hari semalam.
“Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan menyeluruh berkaitan insiden berkenaan dan mengambil tindakan sepatutnya terhadap pelaku.
“Ini bagi memastikan anak kami (mangsa) mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya ketika ditemui di luar sekolah selepas mengadakan perbincangan dengan ahli keluarga pelajar yang memukul anaknya bersama pihak sekolah dan polis pada pagi tadi.
Katanya, perbincangan itu tidak melibatkan sebarang keputusan, sebaliknya hanya mendengar penjelasan mengenai kejadian daripada pihak sekolah.
“Saya menyambut baik penjelasan yang diberikan pihak sekolah semasa perjumpaan pagi tadi termasuk menjamin keselamatan anak saya yang akan bersekolah seperti biasa selepas ini.
“Keputusan membabitkan undang-undang kami serahkan kepada pihak polis sepenuhnya,” ujarnya.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang pelajar lelaki tingkatan tiga cedera dipukul rakan sekelas dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini.
Kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di mata sebelah kiri, sakit pada kepala dan muntah. – KOSMO! ONLINE