fbpx
QABIL kekal mendahului carta keseluruhan ESBK Talent selepas tamat Pusingan 4 di Litar Navarra, Sepanyol kelmarin.

Qabil makin bijak urus tekanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan membuktikan usia bukan penghalang untuk tampil sebagai pencabar utama di pentas antarabangsa apabila memperlihatkan kematangan luar biasa dalam mengurus tekanan pada Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK).

Pada usia 13 tahun, Qabil bukan sahaja mencipta keputusan konsisten di litar Eropah, malah kini mengungguli carta keseluruhan kategori ESBK Talent dengan 173 mata selepas pusingan keempat di Litar de Navarra, Sepanyol kelmarin.

Anak jati Terengganu itu mencipta kejutan memenangi Perlumbaan 1 dan meraih tempat keempat Perlumbaan 2, sekali gus terus mendahului pelumba-pelumba muda dari Eropah yang lebih berpengalaman beraksi di laman sendiri.

Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, apa yang lebih mengagumkan bukan hanya prestasi, tetapi keupayaan Qabil mengawal emosi dan fokus sepanjang minggu perlumbaan.

“Qabil terus menunjukkan prestasi kompetitif dari sesi latihan hinggalah ke hari perlumbaan, menang Perlumbaan 1 dan tempat keempat Perlumbaan 2 sambil kekal mendahului carta kejuaraan.

“Ini adalah permulaan yang sangat baik untuk Qabil dalam membina karier di Eropah dan kita dapat lihat bagaimana dia menguruskan perlumbaan dengan baik. Secara keseluruhan saya sangat gembira dengan pencapaiannya,” katanya.

Bekas pelumba Moto2 dan Moto3 itu turut menekankan kematangan mental sangat penting untuk pelumba yang bercita-cita menembusi pentas dunia seperti Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada masa akan datang.

Tambahnya, pencapaian tersebut turut disokong oleh faktor sekeliling termasuk peranan penting dimainkan oleh ayah Qabil yang sentiasa bersamanya sepanjang kempen di Eropah.

“Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada ayah Qabil yang sentiasa memberikan sokongan, serta kepada semua penaja yang terlibat,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI