fbpx
WAN SURAYA

Audit Negara: Ketakteraturan serius libatkan FELCRA, UKM, Tentera Darat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendedahkan tiga ketakteraturan serius membabitkan aktiviti kementerian, jabatan, agensi atau syarikat Kerajaan Persekutuan.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, salah satu ketakteraturan serius dikenal pasti membabitkan perolehan pajakan ladang sawit oleh FELCRA Berhad.

Menurut beliau, ia melibatkan kelemahan tatakelola dalam pelaksanaan perolehan pajakan satu ladang sawit di Sandakan, Sabah dan tiga ladang sawit di Gua Musang, Kelantan melibatkan perolehan berjumlah RM241.76 juta dalam tempoh tahun 2022 hingga 2024.

Selain itu, katanya, terdapat ketakteraturan yang serius serta kelemahan dalam proses perolehan tender dan tatakelola pengurusan perolehan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melibatkan tiga tender berjumlah RM58.45 juta.

“Perkara ini berlaku apabila Jawatankuasa Perolehan Tender memilih syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan dan Jawatankuasa Pra Tender,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Suraya berkata, LKAN 2/2025 turut mendedahkan ketakteraturan serius melibatkan pengurusan kenderaan perisai Tentera Darat.

Kata beliau, ia membabitkan kelemahan dalam pentadbiran kontrak dan pengurusan perolehan bagi tempoh tahun 2020 hingga 2023 yang meliputi denda berjumlah RM162.75 juta belum dikutip.

Jelas beliau, denda tersebut belum dikutip daripada syarikat bagi kelewatan pembekalan GEMPITA dan denda berjumlah RM1.42 juta belum dikenakan terhadap syarikat bagi kelewatan perkhidmatan senggaraan, pembaikan dan pembekalan alat ganti kenderaan perisai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN