fbpx
Anwar pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama Warga JPM bagi Bulan Julai 2025 di Dewan De Seri Endon, Puspanitapuri di Putrajaya, hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

Projek pelaburan lonjak ekonomi, tingkat peluang pekerjaan, gaji rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Data terkini projek pelaburan bagi sektor pembuatan dilihat menunjukkan pemulihan ekonomi negara berada pada landasan kukuh dengan impak terus dirasai rakyat menerusi peningkatan pekerjaan, gaji dan nilai tambah industri.

Dalam konteks ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak 3,095 atau 86.4 peratus daripada 3,494 projek pelaburan sektor pembuatan yang diluluskan antara 2021 hingga Jun 2025 kini telah direalisasikan dan sedang beroperasi.

Perdana Menteri berkata, secara keseluruhan angka tahunan pelaksanaan projek diluluskan itu merekodkan sebanyak 90.6 peratus bagi 2023 dan 79.2 peratus pada 2024.

Katanya, bagi suka pertama 2025, ia merekodkan sebanyak 49.8 peratus.

“Ini bukti bahawa pelaburan bukan sekadar diumum, tetapi dilaksanakan dan beri kesan langsung kepada ekonomi serta kehidupan rakyat.

“Jadi, saya ada maklumkan kepada menteri untuk terus memaparkan (data terlibat). Klang di mana (projek berjalan), Johor, Sarawak, Sabah dan Kuala Lumpur.

“Kebanyakan (projek direalisasikan) dalam sektor pembuatan dan peningkatan yang ketara ialah dalam bidang digital dan hijau,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini tadi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pada suku pertama 2025, projek yang dilulus dan dijalankan ialah sebanyak 1,490 dengan menawarkan sebanyak 9,200 peluang pekerjaan.

“Kita juga sudah tubuh Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) di Johor dan MITI yang mana sejak penubuhannya 28,166 permohonan pelabur telah difasilitasi dengan kadar penyelesaian 99.9 peratus.

“Ini maknanya jentera penjawat awam, bukan yang saya umum. Jadi, bila ada peranan penjawat awam melaksanakan dengan cepat dan berkesan, kita ingin ikhtiraf,” katanya.

Anwar berkata, berdasarkan pencapaian itu, sebanyak 50,000 peluang pekerjaan baharu juga berjaya diwujudkan di sektor pembuatan pada suku pertama 2025.

“Gaji median naik 54 peratus, maknanya minimum gaji median bagi pekerja yang baru di sektor pembuatan ialah RM2,745.

“Ini termasuk juga keputusan kita naikkan kadar gaji. Dulu RM1,500, sekarang RM 1,700.

“Ini bukan angan-angan. Kita mahu pastikan pelaburan beri manfaat langsung kepada pekerja tempatan, bukan hanya untung kepada pelabur semata-mata,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN