fbpx
Antara individu yang diperiksa pihak polis dalam serbuan dilakukan di Subang Jaya.

Pelajar IPTS kena ‘pukat’, sakan berparti dalam banglo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Tindakan sekumpulan remaja termasuk pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menyertai ‘private party’ di sebuah banglo berakhir dengan serbuan polis dan penahanan beberapa individu termasuk pengedar dadah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sebuah kediaman di kawasan perumahan sekitar Subang Jaya, kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati, seramai 38 individu yang terdiri daripada 25 warga tempatan dan 13 warga asing menyertai parti berkenaan.

“Majoriti mereka berusia antara 18 hingga 27 tahun dan merupakan pelajar IPTS,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, polis turut menahan empat lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 25 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Turut dirampas ialah 6.5 gram ganja dan 1.7 gram ketamin dalam serbuan tersebut,” ujarnya.

Wan Azlan berkata, kesemua suspek dibawa ke IPD Subang Jaya untuk ujian saringan air kencing dan hasilnya mendapati 12 individu iaitu sembilan warga tempatan dan tiga warga asing positif dadah.

“Kesemua mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah, termasuk penganjuran parti persendirian dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI