JOHOR BAHRU – Seorang lelaki Pakistan yang memandu dalam keadaan mabuk ditahan selepas merempuh sebuah restoran di Jalan Riang Utama, di sini petang semalam,
Suspek berusia 45 tahun kemudian mengundurkan kenderaannya dan melanggar beberapa buah motosikal yang diletakkan di hadapan restoran berkenaan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, suspek turut merempuh kereta Proton Persona yang diletakkan di lokasi tersebut.
“Orang awam cuba memberhentikan kenderaan itu, tetapi gagal dan suspek lari. Kita mengesan suspek di Lebuhraya Pasir Gudang, namun lelaki itu juga enggan berhenti.
“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan selepas cuba lari dengan meninggalkan kenderaannya dan terjun dari tembok ketinggian dua meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Raub, lelaki asing itu diberkas dalam keadaan lemah selain mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.
“Suspek dibawa ke Hospital Sultanah Aminah bagi mendapatkan rawatan. Dia turut disiasat kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE