SETIU – Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berdepan detik cemas apabila kereta Perodua Viva dinaiki mereka tiba-tiba dirempuh sebuah lori membawa muatan roti di Kilometer 65, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Puterajaya di sini hari ini.
Kemalangan pada pukul 7.35 pagi itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa berusia dalam lingkungan 11 hingga 45 tahun mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, kereta Perodua Viva yang dinaiki kesemua mangsa dari arah Kuala Terengganu sedang menunggu di laluan kiri untuk memasuki persimpangan kanan ke Puterajaya di sini.
“Kereta Perodua Viva mereka tiba-tiba dirempuh sebuah lori yang dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan kerana dikatakan cuba mengelak sebuah kereta yang keluar simpang.
“Rempuhan itu menyebabkan belakang kereta Perodua Viva tersebut dilanggar kereta Perodua Bezza yang berada di belakangnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Zain berkata, sebuah kereta Proton Persona turut terbabas apabila cuba mengelakkan daripada melanggar kereta Perodua Bezza.
Beliau berkata, kesemua mangsa yang berada di dalam lori dan dua kereta terlibat terselamat tanpa sebarang kecederaan.
“Tiga mangsa cedera yang berada dalam kereta Perodua Viva pula dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Setiu di sini untuk menerima rawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE