fbpx
Allahyarham Zayn Rayyan.

Nasib ibu, bapa Zayn Rayyan diketahui esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Nasib ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin yang didakwa atas tuduhan mengabai anak mereka dua tahun lalu akan diketahui esok.

Keputusan sama ada Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf dilepas atau dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan akan ditentukan oleh Hakim Mhakamah Sesyen Petaling Jaya, Dr. Syahliza Warnoh.

Ini selepas Hakim Syahliza selesai mendengar keterangan daripada 28 saksi sepanjang 20 hari prosiding berlangsung.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan pihaknya menutup kes mereka selepas Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Mohd . Hafizee Ismail selesai memberi keterangan termasuk pemeriksaan semula oleh pendakwaan.

Sepanjang prosiding, barisan pendakwaan turut diwakili TPR Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala pasangan tertuduh itu diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Gambar fail ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari (kiri) dan Ismanira Abdul Manaf (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 22 April lalu. – Foto FARIZ RUSADIO

Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira yang berusia 30 tahun sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berdekatan apartmen sama pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Perbicaraan bermula pada 4 Februari lalu dan antara saksi dipanggil ialah dua kanak-kanak yang merupakan antara individu terakhir melihat Zayn Rayyan dalam keadaan masih hidup serta pengasuh kanak-kanak itu.

Pada perbicaraan itu turut didedahkan rekod perbualan WhatsApp sebelum dan selepas kehilangan kanak-kanak autistik itu yang mana antaranya ‘Stresnya sampai rasa nak bunuh orang je’ ‘Hang belasah je la sampai puas’, ‘Lantaklah nak hidup ke nak mati.’

Untuk rekod, sebelum perbicaraan bermula, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengemukakan bantahan awal bagi membatalkan pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka atas alasan pertuduhan tersebut cacat kerana tidak memperincikan kesalahan dilakukan.

Pada 13 Mac lalu, pihak pendakwaan meminda pertuduhan terhadap pasangan itu dengan memperincikan lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI