BESUT – Keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang meninggal dunia dan cedera dalam nahas di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu dalam proses untuk mengambil tindakan perundangan terhadap pemandu dan pengusaha bas persiaran terlibat.
Nani Hamid, 49, iaitu ibu Nur Ain Najwa Mohd. Ilias yang cedera dalam kemalangan itu berkata, laporan awal Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan yang dikeluarkan kelmarin menguatkan lagi hasrat ibu bapa untuk mendapatkan pembelaan buat anak-anak mereka.
“Kami sebelum ini telah berjumpa dengan peguam yang di bawa pengurusan UPSI bagi membincangkan tindakan undang-undang.
“Namun setakat ini, kata sepakat belum diambil. Apapun tindakan tegas harus dikenakan terhadap pemandu dan syarikat bas terlibat sebagai peringatan pada masa depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Tegasnya, insiden itu perlu dipandang serius kerana kecuaian dilakukan telah mengorbankan banyak nyawa dan mencederakan yang lain.
Rosdi Yunus, 56, yang merupakan bapa Allahyarham Fakhrul Arif pula berkata, keluarganya dan mangsa-mangsa lain telah menyerah dokumen awal kepada peguam terlibat.
“Ia bagi membolehkan sebarang tindakan melalui undang-undang dilakukan terhadap pihak terlibat,” katanya.
Bapa Allahyarham Nurly Sahirah, Azman Mohamed, 63, pula mengikut kata sepakat yang akan dipersetujui semua waris mangsa terlibat.
“Saya dan keluarga menaruh kepercayaan penuh terhadap laporan siasatan dilakukan pihak berkuasa. Kami percaya dengan sistem perundangan negara dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Kelmarin, laporan awal Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan mendapati tiada kerosakan pada sistem brek seperti didakwa, namun terdapat kesan pemanasan melampau akibat penggunaan berlebihan selain tali pinggang keledar hanya dipasang di tempat duduk pemandu.














