ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita sebanyak 1,061 pod dan kartrij rokok elektronik disyaki tiruan selepas menyerbu lima premis sekitar Langkawi, Kubang Pasu dan Sungai Petani pada Rabu lalu.
Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu dilakukan berdasarkan aduan awam dan hasil risikan yang dijalankan sejak awal bulan ini.
“KPDN Kedah membuat serbuan bersama wakil pemilik cap dagangan berdaftar ke atas lima premis di Langkawi, Kubang Pasu dan Sungai Petani.
“Operasi yang dijalankan secara serentak itu menemui pelbagai jenis pod dan kartrij rokok elektronik yang menggunakan cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis menjalankan perniagaan secara jualan terus.
“Pegawai Serbuan menyita pelbagai jenis pod dan kartrij rokok elektronik yang menggunakan cap dagangan berdaftar di kelima-lima premis sasaran dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan RM14,880,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(b) dan Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.
“Tindakan ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kita Gempur yang telah dilancarkan pada 19 Oktober 2024 dalam menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan bersubsidi,” katanya. – KOSMO! ONLINE