PETALING JAYA – NexG Berhad (NexG), dahulunya dikenali sebagai Datasonic Group Berhad, mengumumkan penubuhan MyNasional Holdings Sdn Bhd (MyNasional Holdings), anak syarikat yang baharu ditubuhkan .
Ia akan berfungsi sebagai cabang kecerdasan buatan (AI) dan Perisikan Data NexG, jadi penubuhan ini selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan pelan
hala tuju MyDigital ID negara.
MyNasional Holdings dijangka memainkan peranan kritikal dalam menyokong agenda
digitalisasi kerajaan dengan menyampaikan penyelesaian digital yang dipercayai,
pintar dan boleh saling kendali kepada institusi awam dan ekosistem sektor
swasta.
Entiti ini akan menyelia tiga bidang tumpuan utama iaitu Identiti Digital dan Pengesahan eKYC yang mana bahagian ini menerajui penyelesaian pengesahan identiti
yang selamat dan dipacu AI.
Ini amat penting dalam menggerakkan peralihan Malaysia kepada perkhidmatan awam digital dan automasi sektor swasta.
Bidang kedua terdiri daripada Data Perniagaan Perisikan Korporat yang mana bahagian ini akan berfungsi sebagai hab perisikan nasional untuk data perniagaan bagi menyediakan akses masa nyata kepada rekod korporat, hubungan antara pemegang saham, pemfailan kewangan dan pandangan kawal selia melalui platform yang dikuasakan AI.
Bidang ketiga pula adalah Penyelesaian AI & Analitik Pintar yang mana dengan penubuhan unit khusus iaitu MyNasional AI, Kumpulan ini memimpin pembangunan penyelesaian AI generasi akan datang yang transformatif.
Timbalan Pengerusi NexG Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, penubuhan MyNasional Holdings menandakan pencapaian strategik dalam transformasi Kumpulan daripada penyedia ID selamat kepada pemudah cara perkhidmatan awam yang
dipacu data dan inovasi sektor swasta yang pintar dalam era digital.
“Melalui MyNasional, kami sedang meletakkan asas bagi infrastruktur kepercayaan
digital generasi akan datang Malaysia.
“Langkah ini bukan sekadar satu pencapaian korporat,ia adalah komitmen nasional.
“Daripada eKYC hingga perisikan perniagaan kepada inovasi AI, platform kami akan
memberikan impak ekonomi sebenar dengan mempercepatkan transformasi
perkhidmatan awam, mengukuhkan ketahanan digital nasional, dan membolehkan
pertumbuhan digital yang inklusif untuk semua rakyat,” katanya dalam kenyataan yagn dikeluarkan di sini semalam.
Tambah beliau, dengan permintaan yang semakin meningkat di seluruh ASEAN untuk penyelesaian digital yang selamat, pintar, dan tempatan, MyNasional Holdings bersedia muncul sebagai peneraju nasional dan serantau dalam sector identiti digital, perisikan
data perniagaan, dan AI gunaan (applied AI). -KOSMO! ONLINE