PETALING JAYA – “Selagi kamu belum memohon maaf dan mengaku, saya tidak akan memaafkan apa yang kamu buat pada anak saya.”
Demikian luahan ibu kepada Zara Qairina Mahathir, pelajar tingkatan satu dipercayai mangsa buli yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Papar, Sabah kelmarin.
Menerusi perkongsian di media sosial, wanita tersebut menuntut agar individu yang didakwa membuli anaknya yang berusia 13 tahun supaya tampil memohon maaf secara terbuka.
“Kepada pembenci-pembenci anak saya, mungkin kamu sudah berpuas hati melihat keadaan ini.
“Ingat, selagi kamu belum memohon maaf dan mengaku, saya tidak akan memaafkan kamu. Saya juga tahu nama setiap pelaku kerana Zara sering menyebutnya,” katanya menerusi hantaran tersebut malam tadi.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di Papar yang dipercayai menjadi mangsa buli meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga sekolah tersebut.
Pelajar berkenaan disahkan meninggal dunia pada malam Khamis ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu. -KOSMO! ONLINE