fbpx

Jangan pilih lawan pasukan ‘cap ayam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARIMAU Malaya memerlukan aksi lebih kompetitif berstatus gred A untuk memburu lebih banyak mata bagi meningkatkan lagi kedudukan ranking.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa untuk mengatur perlawanan ‘gred A’ yang berkualiti sekiranya mahu memburu impian berada dalam kelompok 100 pasukan terbaik dunia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pemerhati bola sepak negara, Sulaiman Hussin percaya skuad Harimau Malaya kena berani untuk bertemu dengan negara handalan dunia supaya dapat mengutip mata yang lebih tinggi untuk menaikkan kedudukan ranking dengan lebih cepat.

Kata Sulaiman, tidak mustahil misi peminat tempatan untuk melihat Malaysia berada dalam senarai 100 negara terbaik menjadi realiti tetapi dengan syarat, tidak lagi mengatur aksi bertemu negara-negara ‘belasahan’ pada kalendar antarabangsa.

“Saya rasa kita kena berani bertemu dengan pasukan yang mungkin kita boleh ditewaskan. Kalau kita main dengan negara yang ranking lebih rendah, kutipan mata akan kurang.

“Justeru, saya rasa kita kena main dengan negara ranking lebih tinggi dan dengan kualiti pemain kita ada, tidak mustahil jika pasukan dapat menghampiri kelompok 100 negara terbaik dunia.

“Kita tidak lagi boleh atur pertemuan dengan negara seperti Maldives atau Nepal (untuk aksi persahabatan),” katanya kepada Kosmo!.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Harimau Malaya menarik diri daripada Piala CAFA 2025 selepas mengambil kira hal logistik dan tarikh perlawanan di luar kalendar FIFA.

Situasi itu menyaksikan kalendar antarabangsa yang bermula 1 hingga 9 September depan masih ‘lompong’ dengan FAM terdesak untuk mencari perlawanan berkualiti tinggi di tanah air.

Harimau Malaya yang ketika ini berada di kedudukan ranking ke-125 dunia diramal mampu memecah tempok 100 negara terbaik oleh Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin jika kekalkan momentum dibawah revolusi yang dipacu ketua jurulatih, Peter Cklamovski.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI