fbpx
Keadaan bas yang terlibat dalam insiden meragut 15 nyawa penuntut UPSI di KM53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik pada Jun lalu. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

Nahas UPSI: Gagal kawal kelajuan, bas terbalik di laluan menurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pemandu yang gagal mengawal kelajuan bas ketika melalui selekoh di laluan menuruni bukit dikenal pasti sebagai punca utama nahas meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Jun lalu.

Menurut Laporan Awal Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan oleh Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), bas yang melalui laluan menurun gagal dikawal sewaktu mengambil selekoh, menyebabkan kenderaan itu hilang imbangan dan terbalik ke arah kiri jalan.

“Analisis trajektori, rekonstruksi pergerakan sebelum kejadian dan penilaian terhadap kelajuan kritikal selekoh menunjukkan bas dipandu pada kelajuan yang melebihi had selamat untuk laluan berkenaan.

“Kenderaan terbalik ke sisi kiri sebelum bergesel dan menghentam penghadang jalan jenis W-beam, yang kemudiannya menembusi ke dalam ruang kabin sehingga menyebabkan kecederaan parah serta kematian dalam kalangan penumpang,” jelas laporan itu.

Tambah laporan tersebut, walaupun pemandu mendakwa berlaku kegagalan sistem brek, siasatan setakat ini belum mengesahkan sebarang kerosakan teknikal.

“Pemeriksaan awal mengenal pasti tanda-tanda kemungkinan pemanasan melampau pada komponen brek, namun keadaan ini juga boleh berpunca daripada penggunaan brek yang berlebihan atau tidak sesuai,” kata laporan itu.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 15 maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas membawa pelajar UPSI dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, 9 Jun lalu.

Difahamkan, ketika kejadian bas tersebut dalam perjalanan pulang ke kampus UPSI Tanjung Malim dari Jerteh, Terengganu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN