fbpx

‘Bila dapat tawaran berlakon, semangat, jasad kembali pulih’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BINTANG filem Melayu era 1990-an, Dharma bukannya hendak meraih simpati, namun dalam keadaan kesihatan tidak baik dan tiada sumber pendapatan tetap, sokongan rakan industri amatlah diharapkan.

“Saya tak takut mati, tapi saya risau ‘pergi’ tanpa sempat mengucap dua kalimah syahadah.”

Itu luahan pendek pelakon veteran Dharma Harun Al-Rashid tatkala diajukan pertanyaan mengenai perasaan yang menyelubunginya ketika ini.

Ketika diri bergelut masalah kesihatan, ditambah tekanan akibat tiada mata pencarian, bebanan kewangan pula singgah menggandakan lagi kerunsingan.

Namun, bintang tinggi lampai yang sudah mencecah usia 68 tahun itu bersyukur tidak diserang penyakit kronik selain sakit yang disifatkan biasa seperti darah tinggi dan asma.

HATI Dharma luluh dipagut sayu apabila anak-anaknya dikecam dikecam tidak bekerja dan hanya hidup goyang kaki mengharapkan duit daripada orang tua, sedangkan perkara itu tidak benar.

Tiada kerja punca lemah

Cuma barangkali dek tekanan sudah lama tidak turun padang bekerja seperti zaman muda menjadikan thyroid masuk sebagai senarai terkini masalah kesihatannya.

Tetap mensyukuri nikmat dipinjamkan Tuhan, Dharma memaklumkan setiap perjalanan kehidupan merupakan peringatan supaya dirinya lebih bersyukur.

“Apabila diuji dengan sakit serta rasa lemah seperti hari ini saya tetap reda kerana di luar sana ramai lagi yang lebih besar ujian hidupnya.

“Saya juga bersyukur masih diberi peluang untuk bersujud kepada-Nya selain terus dikelilingi insan yang sangat prihatin, termasuk kawan-kawan industri.

“Cuma perasaan yang sukar saya lupakan adalah ketika terkena serangan angin ahmar pada Ramadan 2019. Itulah detik yang kekal terakam dalam ingatan,” katanya kepada HibGlam.

LIGAT bekerja keras sejak muda, Dharma mengakui tiada tawaran kerja sejak beberapa tahun lalu membuatkan semangatnya luntur sehingga mudah diserang penyakit.– AMIR KHALID

Kawan bagi semangat

Berkain pelikat, berbaju-T bersama kopiah, santai sahaja pemilik nama sebenar Mohamad Azman Abd, Rashid menyambut kehadiran wakil HibGlam yang berkunjung ke rumahnya.

Tampak cergas, selain berkongsi cerita silam, pelakon merangkap penyanyi, pengarah dan penulis skrip itu turut meminta orang ramai yang terkejut melihat fizikalnya semakin kurus apabila berat badan mendadak turun sehingga 45 kilogram (kg) agar bertenang.

Katanya, dahulu ingatannya terjejas selama beberapa bulan akibat strok, namun semuanya di atasi dengan rawatan selain berdoa dan bertawakal.

Jadi dugaan yang mendatang kali ini cuba diharungi dengan lapang dada walaupun sesekali hati dipagut sayu melihat dua permata hati dituduh tidak membantunya mencari rezeki.

Enggan emosi terus terganggu, pelakon filem ikonik Adik Manja itu menyerahkan segala-galanya kepada Allah agar diri serta keluarga kecilnya terpelihara.

“Sebenarnya banyak perubahan yang saya rasai dalam tempoh beberapa hari ini. Ramai kawan datang melawat selain bertanya khabar.

“Mungkin tahap kesihatan saya turun mendadak sebab gaya hidup saya tak macam dahulu yang ligat bekerja siang malam.

“Apabila tiada tawaran kerja, saya jadi tertekan dan lemah semangat sampai kurus tapi selepas berjumpa pakar dan dapat tawaran berlakon, semangat serta jasad saya kembali pulih,” katnya.

Bahkan kata Dharma, sokongan dua anaknya, Muhammad Al Syafiq, 35, dan Siti Qurratu Aini, 36, yang menjaga dirinya sejak mengalami strok enam tahun lalu turut menguatkan semangatnya untuk pulih.

DHARMA dan anak bongsunya ceria menyantuni kunjungan wartawan HibGlam.

Tiada dendam

Menyedari netizen memetik nama anak-anaknya terutama Syafiq, aktor yang sudah lebih empat dekad berada dalam industri itu berharap orang ramai lebih bertimbang rasa.

Bapa mana yang tidal terasa apabila permata hati yang menjadi tulang belakangnya diserang dan bertubi-tubi dikecam, terutama dalam media sosial.

Begitupun, lelaki yang tebal sifat kebapaan itu tidak berdendam. Dia percaya, netizen tidak tahu hal sebenar ketika menabur tuduhan melulu.

“Memang saya tegur Syafiq ketika dia berkongsi foto saya solat dengan tubuh kurus, sekali gus mencetuskan kegemparan. Saya tak mahu orang risau dan tak sangka dari situ tercetus semula isu kerja.

“Bukan nak meminta-minta tapi dalam keadaan saya tidak dipanggil bekerja, manakala Syafiq hanya bergaji kecil dengan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), tentu sahaja kurang mencukupi.

“Selepas fasa pandemik projek syarikat produksi kami yang Syafiq uruskan tertangguh. Saya pula sakit, itu antara punca keadaan kewangan kami agak teruk walaupun anak-anak bekerja,” ulasnya.

Berterima kasih kepada pihak yang sentiasa menitipkan kesejahteraan buatnya, anak jati Ipoh, Perak itu hanya mampu memulangkan doa atas budi baik semua.

“Sejujurnya saya tak sabar turun ke lokasi drama yang ditawarkan Datuk A. Aida bulan depan, itu salah satu sebab saya kembali bersemangat. Dapat kembali bekerja,” ujarnya menutup.

BUKAN calang-calang, ketika zaman kegemilangannya Dharma antara hero rebutan rumah produksi, pengarah dan digilai ramai peminat satu ketika dahulu.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI