DUNGUN – Penduduk Bandar Al Muktafi Billah Shah gempar selepas mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan kelar pada leher dan pergelangan tangan kiri di sebuah tapak pembinaan perumahan rumah teres di Taman Madani, di sini hari ini.
Mayat kontraktor tapak pembinaan tersebut ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di sebelah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton miliknya pada pukul 3.15 petang.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, sebilah pisau pemotong kertas juga ditemui berhampiran mayat mangsa yang berasal dari Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur.
“Punca kematian masih dalam siasatan dan mayat tersebut dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, seorang saksi, Mohd Syukri Mamat, 35, berkata, dia terkejut apabila menemui mayat kontraktor tersebut sewaktu dalam perjalanan menghantar makanan kepada rakannya.
“Pada mulanya saya pelik melihat lelaki itu berbaring di tepi kenderaannya yang masih dihidupkan enjin. Sebaik didekati, terkejut saya lihat tubuhnya berlumuran darah dan terus hubungi polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE