fbpx
MIN perlu mengikut arahan isterinya termasuk menyerahkan semua pendapatan bulanannya kepada isteri. Min sering dimaki hamun oleh isterinya setiap kali mereka bergaduh. – Gambar hiasan

Hilang sabar bini ‘queen control’ kuat maki hamun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MIN (bukan nama sebenar) dan isterinya berkahwin atas dasar percintaan.

Sebelum mendirikan rumah tangga, dia dan isterinya sempat menjalin cinta selama empat bulan.

“Saya dan isteri pernah berhadapan dengan kegagalan dalam percintaan bersama pasangan masing-masing sebelum ini.

“Untuk mengubati kekecewaan, kami mengambil keputusan untuk bersama dalam satu perhubungan yang halal. Tambahan pula, kami juga telah meningkat umur,” katanya yang kini berusia pertengahan 30-an.

Tambahnya, keluarga kedua-dua belah pihak merestui mereka bersatu dan majlis perkahwinan berlangsung dengan cukup meriah.

Sebelum melangsungkan perkahwinan, abang kepada isterinya telah mengajak Min berjumpa di sebuah kedai makan untuk ‘bersembang’.

Ketika mereka berbual, abang iparnya itu berpesan kepada Min supaya banyak bersabar dan menjaga adiknya dengan baik.

Ini kerana isterinya merupakan anak bongsu dalam keluarga dan sering dimanjakan sejak kecil.

“Abang ipar saya juga ada beritahu bahawa adiknya merupakan seorang yang keras kepala dan sentiasa mahu orang lain mengikut katanya.

“Dia menasihati saya untuk mengubah sikap adiknya itu,” ceritanya.

Min mengakui, sepanjang mereka berkenalan, isterinya tidak menunjukkan sebarang sikap yang buruk seperti diungkapkan oleh abang iparnya.

Namun, dia tetap mengambil maklum terhadap pesanan yang disampaikan oleh abang iparnya itu.

Pada awalnya, perkahwinan Min bersama isteri tercinta berada dalam keadaan baik.

Setelah perkahwinan memasuki usia enam bulan, Min mendapati bahawa isterinya mula menunjukkan sikap sebenar.

Min merasakan isterinya seperti mahu menjadi ‘penguasa’ dalam rumah tangga mereka bagaikan seorang queen control.

Sebagai contoh, isterinya meminta Min menyerahkan semua pendapatan bulanan untuk disimpan.

“Dia (isteri) memberi alasan mahu mengawal perbelanjaan keluarga, kononnya saya seorang yang boros.

“Pada mulanya, saya tidak bersetuju dengan tindakannya itu. Namun, disebabkan rasa sayang dan tidak mahu melihat isteri merajuk, saya terpaksa akur,” jelasnya.

Selain itu, isterinya turut menentukan soal pakaian yang ingin dibeli, tempat makan dan lokasi percutian.

Hal itu membuatkan Min berasa rimas kerana keluarganya sendiri tidak pernah mengongkong hidupnya.

Sebelum ini, Min bebas membuat keputusan sendiri.

Namun kini, dia perlu memberitahu semua hal kepada isterinya terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Selain itu, Min juga tidak suka dengan sikap isterinya yang suka memaki hamun.

Setelah berkahwin, Min baru tahu bahawa isterinya tidak tahu cara mengawal percakapannya ketika berada dalam keadaan marah.

“Saya sendiri makan hati dengan ayat-ayat maki hamun yang keluar dari mulut isteri.

“Jika kami bergaduh, pelbagai kata-kata kesat akan keluar dari mulutnya untuk memarahi saya. Suami bodoh, suami tidak berguna, binatang dan pelbagai lagi ayat-ayat yang menyakitkan hati keluar dari mulutnya,” katanya.

Ada sekali, Min hilang sabar dan terus menampar isterinya kerana memaki hamun disebabkan kesalahan kecil dilakukannya .

Isterinya cuba melawan dengan menendang Min.

Bagi mengelak keadaan menjadi semakin tidak terkawal, Min mengambil keputusan untuk mengalah dan keluar dari rumah seketika mencari ketenangan.

Namun, isterinya masih tidak berpuas hati dan terus memaki hamun Min menerusi aplikasi WhatsApp. Malah, isterinya turut meminta supaya Min segera menceraikannya.

Pada ketika itu, perkahwinan mereka baru memasuki usia setahun.

Disebabkan rasa sayang serta cinta, Min menurunkan ego dan meminta maaf kepada isterinya di atas kesalahan yang dilakukannya.

Selepas itu, mereka kembali berdamai dan menjalani hidup seperti biasa.

Bagaimanapun, sikap isterinya tidak berubah dan masih melakukan perkara yang sama setiap kali mereka bergaduh.

Isterinya masih memaki hamun dan meminta Min untuk menceraikannya ketika bergaduh.

Pada suatu hari, mereka bergaduh kerana keengganan Min menyerahkan semua duit gaji untuk diuruskan oleh isterinya.

Disebabkan itu, isterinya ‘naik hantu’ dan mereka bergaduh besar.

Sewaktu bertengkar, Min berasa terlalu marah sehingga nekad menjatuhkan talak kepada isterinya.

Min telah hilang rasa sabar kerana isterinya tidak henti-henti meminta untuk diceraikan.

Mereka berdua akhirnya sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN