PETALING JAYA – Hajat Harimau Malaya untuk ‘menguji taring’ menentang pasukan ranking 20 dunia, Iran tidak kesampaian apabila skuad kebangsaan terpaksa menarik diri daripada kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang dijadual berlangsung 26 Ogos hingga 9 September ini.
Selain isu berkaitan logistik untuk ke Tajikistan, penganjuran pertandingan yang akan bermula di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dilihat menjadi antara sebab kepada keputusan menarik diri.
Mengambil kira faktor itu, agak sukar untuk pengendali negara, Peter Cklamovksi mengumpulkan pemain terbaik dan menyediakan persiapan lebih rapi ketika hasrat pasukan adalah untuk mendapatkan keputusan positif.
Walaupun agak berat, Cklamovksi menjelaskan pelbagai aspek sudah diambil kira dan terpaksa mengambil keputusan sukar kerana tidak mahu pemain yang terpilih sekadar ‘makan angin’ di Tajikistan.
Pada undian sebelum ini, Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama tuan rumah, Tajikistan, Iran dan Afghanistan namun mengambil kira pertandingan ini akan bermula sebelum kalendar FIFA, agak sukar untuk pasukan bertanding mendapatkan pemain terbaik.
Tidak hanya Malaysia, Iran yang memiliki ramai pemain di Eropah mungkin turut berdepan kesukaran untuk mengumpulkan skuad terbaik sekiranya tidak mendapat pelepasan daripada kelab. – KOSMO! ONLINE