KUALA TERENGGANU – Kes keganasan rumah tangga dalam masyarakat masih membimbangkan dengan 2,467 kes telah direkodkan di seluruh negara dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ia termasuk 104 kes yang dilaporkan di Terengganu.
“Walaupun menurun berbanding 130 kes yang dilaporkan dalam tempoh sama pada tahun lalu ia tetap perlu diberi perhatian berdasarkan nisbah populasi penduduk di negeri ini.
“Bagi tahun lalu pula, 379 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Terengganu manakala 7,116 kes pula di seluruh negara,” katanya di Kuala Ibai di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan program Advokasi Kesejahteraan Rumah Tangga untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga.
Noraini berkata, banyak lagi kes keganasan rumah tangga dipercayai tidak dilaporkan kerana wanita yang menjadi mangsa tidak berani tampil disebabkan perasaan takut dan malu serta tidak tahu cara mendapatkan pertolongan.
Beliau berkata, sesetengah wanita telah dimanipulasi pemikiran mereka oleh pelaku sehingga mereka sendiri tidak sedar telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
“Penderaan dan keganasan dalam rumah tangga bukan sahaja secara fizikal tetapi juga emosi, seksual, ekonomi dan psikologi.
“Kebanyakannya dilakukan oleh orang dikenali seperti suami, bekas suami atau teman lelaki yang memberi kesan trauma berpanjangan kepada mental dan emosi kepada wanita terbabit,” katanya. – KOSMO! ONLINE