SHAH ALAM – Pengasas eHATI bersama suami dan anak perempuannya direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung penganjuran motivasi yang dipercayai songsang dan terpesong.
Turut direman dalam tempoh sama adalah tiga lagi merangkumi dua peserta dan suami kepada peserta.
Perintah reman terhadap kesemua suspek terdiri empat wanita dan dua lelaki berusia 26 hingga 47 tahun itu dikeluarkan Majisteret Ameera Mastura Khamis.
Peguam Datuk M. Reza Hassan mewakili empat suspek termasuk pengasas eHATI ketika ditemui selepas prosiding tersebut memaklumkan memfailkan permohonan mengkaji semula keputusan reman tiga hari dikeluarkan majistret.
“Salah seorang daripada anak guam saya sakit dan telah mengemukakan laporan perubatan hospital. Malah, dia sepatutnya menjalani rawatan di salah sebuah hospital kerajaan hari ini.
“Namun, ia tidak diterima majistret. Kita menghormati keputusan mahkamah,” katanya.
M. Reza turut memaklumkan tiga anak guamnya yang merupakan pengasas e-HATI, suami dan anaknya telah ditahan selepas memberikan kenyataan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Jelasnya, kesemua suspek tersebut direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 294 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – KOSMO! ONLINE