PETALING JAYA – Nation of Women (NOW) menggesa kerajaan membentangkan segera Rang Undang-undang berkaitan Akta Gangguan Seksual agar ia dapat diguna pakai secepat mungkin dalam melindungi kaum wanita.
Presiden NOW, Haniza Mohamed Talha berkata, dengan adanya akta itu nanti, gangguan seksual tidak akan dilihat hanya di tempat kerja, tetapi di lokasi lain seperti ruang awam, tempat persendirian dan lain-lain.
Katanya, gangguan seksual sering berlaku ke atas kaum wanita, namun terpaksa didiamkan kerana khuatir berdepan dengan tindakan yang lebih serius kerana pelakunya adalah majikan atau mereka yang berpangkat di tempat kerja.
“NOW menyambut baik pengumuman ini, berita yang dinanti-nantikan oleh kaum wanita terutama mangsa gangguan seksual yang terpaksa berdiam diri kerana tiada undang-undang yang melindungi mereka.
“Pelaksanaan akta ini juga perlu memastikan pengadu kes mendapat pembelaan dengan segera, tidak membebankan dari segi kos dan melindungi privasi pengadu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya menambah, pelaksanaan akta ini juga mesti meliputi semua bentuk gangguan, termasuk gangguan secara psikologi, penggunaan kata-kata, gambar atau video, gerak laku dan tingkah laku.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd. Harun memberitahu bahawa draf Rang Undang-undang Gangguan Seksual, kini pada peringkat akhir bagi penelitian Jabatan Peguam Negara.
Rang undang-undang berkaitan gangguan seksual dijangka siap Mac depan dan akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang. – K! ONLINE














