KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani memulakan aksi pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun dengan langkah kanan apabila meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Gimnasium Tokyo Metropolitan sebentar tadi, pasangan No.1 dunia itu tidak berdepan banyak masalah untuk menewaskan beregu Kanada, Kevin Lee-Ty Alexander Lindeman 21-13, 21-15.
Turun dengan status sebagai pilihan utama kejohanan, gandingan yang diberi julukan DinFei itu bermula cukup baik dan dilihat bermain tanpa sebarang tekanan berdepan beregu No.65 dunia berkenaan.
Kejohanan Jelajah Dunia Super 750 itu dianggap sebagai peluang terbaik buat Sze Fei-Izzuddin untuk menamatkan kemarau kejuaraan selepas kali terakhir mereka muncul juara pada Terbuka India Januari lalu.
Sejak bergelar beregu No.1 dunia Mei lalu, mereka dilihat masih tercari-cari rentak sebenar apabila sekadar melangkah ke suku akhir dalam tiga kejohanan berturut-turut pada Malaysia Masters, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.
Menjelang pusingan kedua yang akan berlangsung Khamis ini, Sze Fei-Izzuddin akan menantikan pemenang antara beregu tuan rumah, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita dan Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dari Taiwan.
Turut melangkah ke pusingan kedua nanti adalah satu lagi beregu profesional, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong yang menewskan pasangan Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov 13-21, 21-17, 21-19.
Bagaimanapun, hasrat perseorangan lelaki, Leong Jun Hao dan beregu wanita, Carmen Ting-Ong Xin Yee untuk meneruskan kemaraan tidak tertunai apabila tewas kepada lawan masing-masing. – KOSMO! ONLINE