BERLIN – Seorang doktor di Jerman dihadapkan di mahkamah semalam atas tuduhan membunuh 15 pesakit menggunakan suntikan maut dan bertindak sebagai ‘penentu hidup dan mati’ ke atas mereka yang berada dalam jagaannya.
Pakar penjagaan paliatif berusia 40 tahun itu dinamakan oleh media Jerman sebagai Johannes M. Dia didakwa membunuh 12 wanita dan tiga lelaki antara September 2021 hingga Julai 2024 semasa bekerja di Berlin.
Defendan dituduh menyuntik mangsa berusia antara 25 hingga 94 tahun menggunakan campuran sedatif yang membawa maut.
Dalam beberapa kes, dia juga membakar rumah mangsa dalam usaha menutup jenayah yang dilakukan.
“Defendan melawat pesakitnya dengan alasan untuk menyediakan rawatan perubatan,” kata pendakwa raya Philipp Meyhoefer pada sesi pembukaan perbicaraan di mahkamah negeri di Berlin.
Defendan ditangkap pada Ogos lalu, dengan pendakwa raya pada mulanya mengaitkannya dengan empat kematian.
Penyiasatan seterusnya mendedahkan pelbagai kes mencurigakan yang lain, dan pada April lalu, pendakwa raya mendakwa Johannes dengan 15 pertuduhan membunuh.
Sebanyak 96 kes lagi masih disiasat, kata jurucakap pendakwaan, termasuk kematian ibu mentua defendan. – AFP