KUALA LANGAT – Seorang pekerja maut manakala lima lagi terselamat selepas dihempap runtuhan rak penyimpanan barang setinggi 17 tingkat dalam kejadian sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Olak Lempit di sini, hari ini.
Mangsa maut dikenali sebagai Rahman berusia 33 tahun yang merupakan warga Bangladesh.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihak menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.54 pagi.
Katanya, seramai sembilan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bergegas ke lokasi kejadian dan tiba 11 minit kemudian.
“Berdasarkan laporan komander operasi mendapati enam orang mangsa dihempap runtuhan rak penyimpanan barang setinggi 17 tingkat.
“Lima mangsa berjaya dikeluarkan dan didapati mengalami kecederaan,” katanya hari ini.
Beliau menambah, bomba yang melakukan operasi mencari kemudiannya menemui lelaki warga Bangladesh dibawah timbunan barangan kira-kira pukul 11.20 pagi.
Jelasnya, lelaki itu kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM). – KOSMO! ONLINE