fbpx

Teknologi digital, AI tidak jejas karya, kreativiti pelukis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Fathil dan Rosnaida menunjukkan hasil lukisan pengunjung di hadapan kios mereka di Pulau Sri Tanjung, Tumpat, Kelantan baru-baru ini.

PETALING JAYA – Gara-gara tersilap menaiki bot untuk menuju ke sebuah pulau yang menjadi sebuah destinasi pelancongan menarik di Kelantan, tetapi terarah ke Pulau Sri Tanjung, Tum­pat, Kelantan, telah membolehkan seorang penggiat seni warisan lukisan batik membuka sebuah kios menjual lukisan batik bersaiz kecil dan murah untuk pengunjung.

Melalui langkah kanannya ke pulau yang turut dihuni oleh nelayan dan pengeluar produk hasil laut itu, Ahmad Fathil Osman atau lebih dikenali sekali Padil Osman yang juga seorang artis seni lukis batik dan juga warna air itu telah berbincang dengan pemilik kios berkenaan untuk menyewa tapak seterusnya mengoperasikan perniagaan di situ.

Hasil sokongan dan bantuan isterinya, Rosnaida Abu Bakar, 36, kios yang mempamerkan kain rentang Jom Mewarna Batik menawarkan khidmat melukis batik kepada pelancong daripada pe­ringkat kanak-kanak hingga dewasa serta tawaran barangan kraftangan tempatan yang lain sejak tiga tahun lalu.

Disediakan di kios berke­naan adalah peralatan mewarna dan ruang untuk pelanggan tidak kira kanak-kanak atau dewasa menghabiskan masa santai mereka menyiapkan lukisan dengan begitu kreatif sekali.

Rosnaida menunjukkan pakaian kaftan hasil jahitannya sendiri.

Rosnaida yang merupakan seorang tukang jahit turut menjadikan kios berkenaan untuk mempromosikan beberapa jenis pakaian popular Pantai Timur iaitu kaftan

“Kesemua lakaran tersebut saya hasilkan sendiri tanpa menggunakan cetakan mesin. Jadi untuk kanak-kanak, lukisan lebih berkonsepkan kartun dan haiwan, manakala untuk dewasa ia kepada konsep batik semulajadi.

“Sehari saya boleh siapkan sehingga 50 lakaran batik dan ada juga saya menerima tempahan khusus daripada pelanggan,” katanya dalam satu majlis yang diadakan di Tumpat, Kelantan baru-baru ini.

Sudah menjadi trend di Kelantan masa kini, jualan barangan makanan dan minuman oleh penjaja dari atas bot menjadi salah satu tarikan popular pelancong seperti mana yang terdapat di Thailand.

Pelancong kini boleh merasai pengalaman tersebut di Pulau Sri Tanjung yang memilik kelainannya tersendiri berbanding pulau lain.

Selain jualan dari atas bot, ada juga peniaga yang menjual pelbagai barangan di kios-kios yang disediakan di pulau berkenaan khususnya pada setiap hujung minggu.

Ahmad Fathil membantu kanak-kanak melukis batik

Dalam pada itu, Ahmad Fathil menjelaskan, lakaran batik dijual dalam tiga saiz iaitu untuk kanak-kanak, dewasa dan juga dalam saiz A4 yang dijual pada harga antara RM7 hingga RM25.

Pastinya kios itu mampu mencatat jualan antara 30 hingga 50 ke­ping lukisan setiap hari.

“Jika musim cuti sekolah, kami pernah mencatat jualan sehingga RM1,000 sehari,” jelas beliau.

Ahmad Fathil yang memiliki pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam bidang seni lukis itu mendapat pendidikan dalam bidang seni halus lukisan batik di Baitulmal Skill Institute di Kuala Lumpur serta juga pernah mempamerkan pelbagai karya lukisannya di Gelanggang Seni, Bazar Tok Guru dan juga di Hotel Perdana di Kota Bharu.

Pelbagai anugerah yang dite­rimanya selain beliau pernah bekerja di Balai Seni Negara, Ba­lai Seni Kelantan dan Shah Alam serta juga di luar negara iaitu di Singapura, Thailand, Indonesia, Itali, Perancis dan juga di Dubai.

Mengulas mengenai kecen­derungan masyarakat kini terhadap perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) yang digunakan pakai dalam hasil seni karya dan lukisan golongan muda khususnya, Ahmad Fathil memberitahu, ia tidak menjadi ancaman kepada bakat seni semula jadi malah teknologi terkini.

“Ia malah membantu dan memudahkan kerja saya seharian, jadi kita kena percaya pada diri sendiri dengan bakat dan kreativiti yang ada.

“Karya daripada teknologi di­gital dan AI tidak akan dapat menandingi hasil karya daripada bakat dalaman yang ada pada seseorang pelukis itu,” jelasnya.

Beliau berharap usahanya yang memberi pendedahan kepada golongan kanak-kanak hingga remaja melukis batik di kios tersebut bakal memupuk minat dan semangat kepada kumpulan sasaran untuk meneroka mendalami bidang berpotensi itu.

“Ini langkah awal untuk mereka membiasa diri mewarna batik dan jika ada peluang, mereka boleh pergi jauh lagi dalam bidang ini.

“Kerjaya melukis bukan terhad kepada satu cabang sahaja tetapi ia berpotensi untuk dite­roka selain menjana hasil lebih baik masa depan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI